BR1M RASUAH, BAGAIMANA MENGELAKKANNYA?

Menurut jawapan Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani di Parlimen pada 18 Oktober 2016 lalu, jumlah penerima BR1M bagi tahun ini ialah seramai 7,280,340 orang.

Katanya, jumlah permohonan keseluruhan yang diterima pula ialah sebanyak 8,362,666. Ini bermakna sebanyak 1,082,326 permohonan telah ditolak.

Apakah tafsiran mudah apabila melihat angka 7,280,340 orang yang layak menerima BR1M itu?

Dengan sejarah mentadbir negara melebihi 60 tahun, tetapi lebih 7 juta daripada 31 juta rakyatnya masih bergantung kepada BR1M, angka itu dengan sendirinya membuktikan kegagalan UMNO dan BN dalam mentadbir negara ini.

Apa yang menjadi teras perjuangan UMNO dan BN selama ini?

Bukankah yang selalu dilaungkan bahawa perjuangan UMNO dan BN tidak lain ialah untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan kerap juga ditempikkan slogan “BN menang, rakyat senang”?

Di mana senangnya rakyat melalui BN jika setelah lebih 60 tahun berkuasa, tetapi hampir 1/4 rakyatnya masih susah dan miskin?

Dalam pada itu, daripada 7,280,340 penerima BR1M, berapa ramaikah di antaranya adalah ahli-ahli UMNO?

UMNO direkodkan mempunyai keahlian seramai 3.5 juta, jadi berapa ramaikah yang masih menerima BR1M?

Mungkinkah 3 juta atau 2.5 juta penerima BR1M merupakan ahli UMNO?

Jika demikian, apa yang boleh dibanggakan mengenai keberhasilan perjuangan UMNO, bukan saja untuk rakyat, tetapi juga kepada mereka yang menjadi ahli parti tersebut?

Mahu tidak tahu, BR1M akhirnya hanya membuktikan kegagalan UMNO dan BN memerintah negara ini.

Kini pemberian BR1M dikaitkan pula dengan unsur rasuah dan perbuatan yang menyalahi undang-undang. Ia beirkutan Najib sendiri dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu mengatakan pengagihannya akan dilakukan melalui pejabat UMNO bahagian-bahagian di seluruh negara.

Duit BR1M adalah duit rakyat yang diperolehi melalui cukai, termasuk GST. Ia bukan duit UMNO atau wang derma yang diperolehi oleh Najib. Bermakna, bukan saja semua rakyat yang layak berhak menerimanya, bahkan ia tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan UMNO, BN atau mana-mana parti politik.

Apabila diberikan melalui pejabat UMNO, ia sudah mengarah kepada unsur rasuah. Sudah tentu ia diberikan dengan harapan dibalas dengan undi. Ketua-Ketua UMNO bahagian yang menyampaikan sumbangan pasti akan mengambil kesempatan bercakap atau memberikan sepatah dua kata kepada penerima BR1M dalam bentuk merayu serta meminta undi daripada mereka.

Kepada penerima BR1M yang dikenalpasti tidak menyokong UMNO dan BN, ia akhirnya turut terdedah kepada unsur ugutan atau kata-kata yang kasar agar wang yang diterima dibalas dengan sokongan.

Dengan yang demikian, BR1M adalah merupakan pemberian yang diminta balasannya, bukan lagi untuk semata-mata membantu rakyat yang kesusahan. Jadi, unsur rasuah tidak lagi dapat dielakkan.

Tidak seperti bantuan tunai kepada warga emas atau bekalan air percuma yang diberikan di Pulau Pinang dan Selangor, ia disalurkan secara terus atau melalui pejabat kerajaan yang berkaitan tanpa melibatkan sama sekali sama ada DAP dan PKR.

Untuk mengelakkan BR1M dikaitkan dengan unsur rasuah atau penerimanya mungkin berasa was-was kerana bimbang menerima wang haram, jalan mudahnya ialah mereka mesti tidak memberi undi kepada BN dalam pilihanraya akan datang.

Mereka mesti membuktikan bahawa sekali pun diberikan BR1M, undi tetap tidak diberikan kepada BN. Ia dengan sendirinya menyebabkan wang BR1M itu terkeluar daripada definisi rasuah.

Sebaliknya, selagi BN menang dalam pilihanraya akan datang, selagi itulah BR1M akan tetap terkait dengan rasuah.

Akhirnya terpulang kepada 7,280,340 penerima BR1M membuat keputusan. Dengan tidak mengundi BN, bukan saja dapat membersihkan wang yang diterima daripada unsur rasuah, yang lebih penting lagi ialah dapat sama menyelamatkan negara ini.

Lebih 60 tahun berkuasa, tetapi ada hampir 1/4 rakyat Malaysia masih menerima BR1M yang bermakna mereka masih miskin, termasuk sebahagiannya adalah ahli UMNO, apakah kita mahu memberi kerajaan yang ada terus berkuasa lagi?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.