BR1M: DR M KATA RASUAH, PKR KATA HAK RAKYAT

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak bersetuju kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disifatkan sebagai rasuah.

“Apa sahaja yang diberikan kerajaan perlu disalurkan kepada rakyat, itu bukan rasuah. Ia adalah hak mereka untuk mendapatkannya,” katanya pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat PKR.

Baru-baru ini, Mahathir mengingatkan rakyat di negara ini bahawa pemberian BR1M adalah rasuah dan salah di sisi undang-undang.

Dakwanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menggunakan BR1M bagi meraih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Ketika pemerintahan saya, saya tak beri duit tetapi banyak kebaikan yang kerajaan dahulu berikan melalui sistem jalan raya yang baik, peruntukan untuk sekolah mencukupi, anak-anak diberi biasiswa dan banyak lagi.
“Tetapi sekarang rakyat lebih menghargai duit BR1M?,” katanya.

Ditanya sama ada kenyataan Mahathir memberi kesan ke atas Pakatan Harapan susulan  gandingan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU),  Wan Azizah berkata, ia hanyalah sekadar pendapat Mahathir.

– M’kini

.