Bos Naza, bekas isteri masuk ‘mahkamah Instagram’

Kes antara ahli perniagaan terkenal Datuk SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya Emilia Hanafi berlangsung di mahkamah dalam keadaan sunyi daripada dihidu media.

Bagaimanapun, keadaan kini dilihat berbeza apabila mereka mengambil pendekatan memperjelaskan di Internet, sekurang-kurangnya kepada pengikut laman perkongsian gambar Instagram.

Kedua-dua mereka malah memuat naik gambar dengan tiga anak, seolah-olah mahu bersaing membuktikan kasih sayang masing-masing.

Ia berlaku selepas video ‘perebutan anak’ mereka berdua tersebar di media sosial.

SM Faisal, pengerusi eksekutif Naza World Group of Companies menulis di Instagramnya semalam memberitahu beliau tidak bertindak ganas seperti didakwa orang ramai yang menonton video itu.

“Saya tidak bertindak ganas sebaliknya saya telah merayu kepada bekas isteri saya untuk membenarkan saya berjumpa anak saya itu sambil menghulurkan tangan untuk mendakap anak saya,” tulis SM Faisal.

Walaupun status Instagram beliau berstatus peribadi, ia sempat dirakam pihak luar, termasuk laman berita sensasi dan terkenal OhBulan! yang menyebarkannya kembali.

Sementara pada hari ini, Emilia seakan membalas terhadap tulisan SM Faisal serta menjelaskan versi beliau tentang kejadian itu.

“Faiz dan anak-anak saya yang lain amat trauma dengan kejadian-kejadian dan peristiwa-peristiwa hitam yang telah pun berlaku sebelum ini terhadap saya di hadapan mata anak-anak sendiri,” tulis Emilia.

Instagram beliau turut berstatus peribadi.

Malaysiakini pada Jun lalu melaporkan, SM Faisal, 37, didakwa memukul Emilia pada 22 November 2015 di kediaman mereka di Desa Sri Hartamas di ibu negara.

Namun, pasangan itu dipercayai telah bercerai pada bulan Mac yang lalu.

– M’kini

.