BONUS 3 BULAN UNTUK PENJAWAT AWAM SELANGOR

KERAJAAN Selangor hari ini menaikkan taruhan apabila ia bercadang membayar bonus tiga bulan kepada penjawat awam di negeri itu semasa membentangkan Bajet 2018 Selangor hari ini.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata antara pihak yang akan mendapat manfaat daripada pembayaran bonus ialah 6,725 guru Kafa, 78 ketua Kampung Baru Cina dan 48 pemimpin masyarakat India.

Azmin berkata bayaran itu akan dibuat pada 21 Disember tahun ini.

Minggu lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) juga mengumumkan bayaran khas sebanyak RM1,500 kepada lebih 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara semasa pembentangan Bajet 2018.

Perdana Menteri Najib Razak juga mengumumkan pemotongan cukai bagi kelas menengah dan bayaran khas lain untuk guru serta pemimpin agama dalam belanjawan negara terakhir oleh BN sebelum pilihan raya akan datang.

“Saya ada pasukan yang bagus,” kata Azmin kepada pemberita selepas membentangkan bajet negeri.

“Exco negeri, wakil negeri yang sentiasa mengutamakan pembangunan Selangor. Kami telah menyaksikan beberapa kejayaan.

“Oleh itu, adalah tugas saya untuk mengiktiraf pegawai kerajaan di negeri ini dengan memberi bonus tiga bulan bagi tahun ini.”

Terdahulu, semasa ucapannya, Azmin mengatakan perkhidmatan awam Selangor sebagai “contoh kecemerlangan”.

“Saya bersyukur kerana Selangor mempunyai pasukan kakitangan awam yang berdaya tahan, profesional dan berintegriti.

“Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Mohd Amin Ahmad Ahya) dan rakan-rakannya berlumba-lumba untuk meningkatkan prestasi mereka.

“Tiada masalah rakyat yang terabai, tiada fail yang hilang, tiada surat yang tidak dijawab dan tiada e-mel yang terbiar tanpa jawapan diberikan. Penjawat awam negeri Selangor merupakan contoh kecemerlangan.

“Dengan perkhidmatan yang sangat baik, saya tidak boleh mengabaikan sumbangan yang menaikkan Selangor menjadi negeri paling maju di Malaysia, dicemburui semua, malah Putrajaya.”

Beliau juga mengulas hasil yang diunjurkan negeri untuk tahun depan, yang dijangka berkurang daripada RM2.55 bilion tahun ini kepada RM2.25 bilion.

“Ia adalah unjuran bertanggungjawab. Kita tidak boleh menafikan aktiviti ekonomi lembap berbanding beberapa tahun yang lalu.

“Bagaimanapun, disebabkan tabungan yang kita capai, kita dapat membiayai projek pembangunan yang sedang dirancang.

“Walaupun perbelanjaan tahun depan berkurangan, ini tidak bermakna kita akan mengetepikan pembangunan infrastruktur.”

Azmin berkata beberapa projek siap pada tahun ini, termasuk pembinaan jambatan Klang yang ketiga.

“Oleh itu, kita tidak perlu memperuntukkan jumlah yang besar tahun depan, dan kita memberi lebih perhatian kepada isu kebajikan, kesihatan, pendidikan dan perumahan, yang semuanya akan membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi Selangor.”

Untuk tahun depan, premium tanah dijangka menyumbang 48.3% daripada hasil negeri, cukai tanah (23.3%) dan cukai tanah berkaitan perniagaan (5.9%).

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.