BOLEHKAH PAS TADBIR MALAYSIA IKUT GARIS KAUM DAN AGAMA?

APABILA kita baca kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini, kita boleh bayangkan bahawa Malaysia bawah pentadbirannya akan menjadi negara yang meletakkan peranan rakyat mengikut kasta dan kaum.

Bentuk kekuasaan itu dalam bentuk paling buruk adalah perkauman, dan dalam bentuk paling baik adalah aparteid.

Dalam kata lain, Hadi cuba menubuhkan dua kelas rakyat Malaysia, orang yang beragama Islam dan bukan Islam. Secara mudah, ia bertentangan dengan perlembagaan.

Pemikiran itu mungkin senada dengan pandangan golongan berhaluan kanan yang percaya bahawa Malaysia – termasuk Malaya, Sabah dan Sarawak – patut berada bawa pentadbiran Melayu Muslim, tetapi bagi kebanyakan orang Malaysia, perkara ini tidak benar dan tidak boleh diterima.

Sekiranya sesiapa sahaja, terutama dari latar belakang agama dan kaum berbeza, mengundi PAS dalam pilihan raya umum akan datang, individu ini akan menyokong rejim yang membiakkan dan memupuk perkauman.

Ya, cuba gambarkan keadaan Afrika Selatan sebelum Nelson Mandela dibebaskan dari hukuman penjara. Fikirkan mengenai negara dengan pemilihan pemimpinnya ditentukan oleh kaum dan agama. Di bawah pentadbiran Hadi, Malaysia mungkin menjadi negara tersebut.

Namun kenyataan itu bukanlah perkara menghairankan kerana ia ditimbulkan oleh ulama yang mencetus kegemparan pada tahun 1980-an dengan Amanat Hadi yang membuat ramai orang Islam menjadi murtad dan kafir kerana menyokong PAS.

Dalam satu program dialog dengan kumpulan masyarakat sivil kaum India hari ini, Hadi berkata PAS akan menubuhkan dua Kabinet berbeza sekiranya parti Islam itu berjaya menguasai kerajan persekutuan.

“Sekiranya PAS memerintah, ia akan dibahagikan kepada dua – (satu) Kabinet  yang memutuskan dasar nasional. Ia perlu terdiri dari orang yang memeluk ideologi dan kepercayaan nasional.

“Kabinet itu akan melantik Kabinet Eksekutif yang akan melaksanakan dasar dan ahlinya boleh terdiri daripada orang bukan Islam, dilantik berdasarkan kepakaran mereka,” kata ahli Parlimen Marang itu ketika berucap dalam program dialog bersama NGO India di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

Katanya kumpulan kedua itu melibatkan golongan teknokrat yang akan melaksana dasar kerajaan, yang mungkin dianggotai ahli Parlimen atau dari sektor swasta.

Hadi berkata, Islam membenarkan orang bukan Islam dilantik ke Kabinet walaupun Malaysia merupakan negara dengan majoriti Muslim.

“Ini berbeza dengan demokrasi barat di mana jika Demokrat menang pilihan raya, Kabinet dan pegawai kerajaan hanyalah ahli Demokrat. Begitu juga dengan kerajaan parti Konservatif, Republikan atau Buruh.”

Inilah silap besar Hadi. Sedangkan Presiden Donald Trump dari parti Republkan menamakan beberapa orang pemimpin Demokrat dalam Kabinet atau dalam jawatan penasihat. Sekiranya beliau bercakap mengenai demokrasi berparlimen yang berpandukan Westminster, tentulah lantikan itu dari parti yang menang.

Tapi, inilah masalahnya. Ini adalah hubungan parti. Bukan kepercayaan.

Bolehkah seseorang didiskriminasi dari sesuatu jawatan politik disebabkan kepercayaannya? Itu hanyalah dalam khayalan Hadi.

Ia dapat dilihat dalam rekod prestasi beliau dan partinya itu sendiri. Kerajaan Hadi yang mentadbir Terengganu selama satu penggal dari 1999 hinggalah ia kalah teruk pada 2004. Di Kedah, Allahyarham Azizan Abdul Razak juga hanya mentadbir selama satu penggal dari 2008 hingga 2013.

Hanya Kelantan menunjukkan trend berbeza sejak 1990, tetapi lebih kepada kewibawaan bekas menteri besar dan mursyidul am parti itu, Allahyarham Nik Aziz Nik Mat, dan bukannya disebabkan falsafah politik Hadi.

Persoalannya, adakah beliau hanya bercakap dari perspektif agama atau juga dari perspektif kaum?

Sebabnya, dalam segmen soal jawab itu, Hadi berkata orang India tidak akan dikecualikan dari Kabinet PAS.

“Orang India adalah kumpulan etnik terbesar selepas orang Cina. Jika kita perintah negara, ia perlu melibatkan kaum lain. Kerajaan tidak boleh terdiri daripada PAS sahaja.

“Ini sangat penting dalam eksekutif. Kita perlu menghormati kepakaran semua kaum.”

Kepakaran? Tidakkah ia kedengaran seperti sistem kasta di mana seseorang individu dikenali mengikut skop pekerjaan atau peranan keseluruhan komunitinya? Seorang pekerja dobi hanya boleh mendobi, seorang pedagang hanya boleh jadi pedagang dan seorang paderi menjadi paderi?

Di mana slogan PAS Untuk Semua yang dicanang sebelum ini? Atau adakah slogan itu sebenarnya bermaksud Semuanya Untuk PAS?

Asasnya mudah seperti digariskan oleh Hadi. Satu undi untuk PAS yang membawa mereka ke tampuk kuasa akan mengubah Malaysia menjadi negara yang ditadbir mengikut garis agama dan kaum.

Senario ini bukan sahaja amat bercanggah dengan perlembagaan tetapi bertentangan dengan gagasan Malaysia di mana semua orang setara mengikut undang-undang.

– https://www.themalaysianinsight.com

.