‘BOLEHKAH MADINAH MENGAUDIT KEMENTERIAN PENDIDIKAN?’

Putrajaya sepatutnya menangguhkan pelantikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad sebagai ketua audit negara yang baru sehingga Kementerian Pendidikan memberi pengesahan kelayakan, kata seorang bekas pegawai kanan kerajaan.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini beliau berkata Madinah sebelum ini bertugas sebagai ketua setiausaha di kementerian berkenaan.

Jawatan terbabit, kata bekas pegawai kanan yang enggan didedahkan identitinya itu, bermakna Madinah bertanggungjawab dalam hal ehwal kewangan kementerian berkenaan.

Untuk makluman, Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan belanjawan terbesar di kalangan kementerian lain dalam kerajaan.

“Apakah kemungkinan tindakan diambil (sebagai ketua audit negara) jika didapati ia perlu dilakukan pada kementerian itu semasa beliau berkhidmat di situ?

“Tentu janggal jika Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara perlu memanggil ketua audit negara untuk disoal (jika berlalu sesuatu yang tidak kena pada akaun kementerian pendidikan),” kata pesara itu.

Madinah diumum sebagai ketua audit negara yang baru pada 20 Februari lalu oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa menggantikan Tan Sri Ambrin Buang yang bersara mulai 22 Februari.

Pelantikan itu menjadi perhatian sesetengah pihak kerana suami Madinah adalah Ketua Umno Kepong, Datuk Rizuan Abdul Hamid.

Jangan ulangi kesilapan

Rizuan dilaporkan pada Ogos 2015 pernah menyatakan kesediaannya berjuang bersama Datuk Seri Najib Razak hingga ke nafas terakhir.

Berucap pada mesyuarat tahunan Umno Kepong, Rizuan dilaporkan berkata beliau sanggup “mati untuk Najib” dan mengingatkan supaya jangan ada sesiapa “sentuh” presiden partinya itu.

Semakan juga mendapati Madinah menjadi anggota Umno Cawangan Kampung Melayu Kepong. Turut menjadi ahli di bahagian berkenaan ialah Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagaimanapun menjelaskan pelantikan Madinah kepada Malaysiakini, Rizuan berkata isteri beliau seorang yang berprinsip teguh.

Menurut bekas pegawai kanan kerajaan itu, mengikut amalan sepatutnya, pelantikan seseorang ketua audit negara hanya dibuat selepas semakan ke atas kementerian yang pernah diketuai itu menunjukkan rekod yang baik.

“Hanya selepas itu Madinah boleh dilantik. Ini sepatutnya menjadi hujah utama bagi membantah pelantikan beliau,” katanya.

Beliau juga menyatakan, Ambrin juga melalui keadaan sama kerana dilantik sebagai ketua audit negara ketika menjadi ketua setiausaha Kementerian Pendidikan.

“Jika kesilapan pernah dilakukan, kita tak wajar mengulanginya, atau ia akan diterima sebagai betul,” katanya.

Mengenai isu kelayakan akademin dan hubungan politik, pesara itu berkata, ia tidak patut menjadi masalah besar.

Madinah memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang sains politik dan doktor falsafah bagi sumber manusia. Ambrin pula memiliki sarjana muda ekonomi dan sarjana bidang perdagangan antarabangsa.

Kata bekas pegawai kanan itu, beliau tahu ada pandangan Madinah tidak sesuai dilantik ke jawatan sekarang berdasarkan kelayakan akademiknya.

“Beliau bukan seorang akauntan dan anggota Umno. Kedua-dua faktor itu agak kurang relevan.

“Sesiapa saja yang memiliki pengalaman mencukupi dan mahu serta cepat belajar, dia boleh menjalankan tugas dengan baik.

“Saya mengenali bekas ketua audit negara Australia yang sebelumnya seorang saintis dan bekerja di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) AS,” katanya.