BOLEH PERCAYAKAH KATA2 NAJIB INI?

Najib Razak memberitahu, kos sara hidup di Malaysia adalah yang terendah di kalangan negara-negara Asean berdasarkan kajian yang yang dilakukan oleh Economist Intelligence Unit.
Menurut Perdana Menteri lagi, keadaan itu adalah hasil pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.
Betulkah?
Secara mudahnya, kos sara hidup adalah pengiraan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh seseorang atau sesebuah keluarga untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan-keperluan lain yang diperlukan untuk keselesaan hidup.
Ia secara langsung juga berkait dengan jumlah pendapatan dan kenaikan harga barang di mana sekiranya  pendapatan berada pada kadar yang lebih rendah berbanding dengan perbelanjaan, bermakna taraf kehidupan rakyat adalah merosot. Maknanya, kos sara hidup adalah meningkat.
Sebaliknya, sekiranya  pendapatan meningkat pada kadar lebih tinggi berbanding perbelanjaan, bererti taraf hidup  semakin meningkat dan kos sara hidup dikira rendah.
Dalam konteks Malaysia, benarkah realitinya kos sara hidup kita terendah di kalangan negara-negara Asean?
Atau kajian saja mendapatinya sedemikian?
Apakah pendapatan rakyat Malaysia meningkat dengan lebih baik berbanding penduduk di Singapura dan Brunei?
Jika pun pendapatan rakyat Malaysia tidak meningkat dengan baik berbanding dua negara jiran tersebut, adakah harga barang keperluan harian di negara kita lebih rendah berbanding Thailand, Indonesia dan Vietnam?
Apakah cukai GST, penarikan subsidi dan beberapa kenaikan harga barang yang berterusan sejak tahun-tahun kebelakangan ini tidak memberi kesan kepada tambahan perbelanjaan dan kos sara hidup rakyat?
Bagaimana pula agaknya perasaan makcik-makcik Felda apabila mendengar kata-kata Najib bahawa kos sara hidup di Malaysia adalah yang terendah sekali sedangkan harga ikan kembong yang mereka beli sudah berharga RM22 sekilogram?
Siapa yang Najib cuba gembirakan dengan kata-katanya itu – dirinya sendiri atau rakyat kebanyakan yang setiap hari pergi ke pasar?
ShahbudinHusin