BOIKOT AMANAH TAK JEJAS PELUANG PAKATAN DI JOHOR

TINDAKAN pimpinan Amanah Johor memboikot konvensyen Pakatan Harapan (PH) semalam tidak akan memberikan kesan kepada blok itu di negeri tersebut.

Pegarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata Amanah mempunyai displin organisasi yang baik dan mampu menyelesaikan isu berbangkit ini.

“Ketidakpuasan hati Amanah Johor boleh diurus oleh pemimpin tertinggi parti mereka kerana mengenali Amanah dengan disiplin organisasi  yang baik. Mungkin (mereka) mengambil  masa untuk menerima hakikat.

“Kesan boikot ini bagi saya sifatnya sementara dan mampu diurus. Jika ada kesan kepada PH Johor, ianya akan diatasi dalam pusingan kedua rundingan agihan kerusi di negeri berkenaan,” kata Hisommudin apabila dihubungi The Malaysian Insight hari ini.

Hisomuddin berpendapat Amanah akan menuntut diberikan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti setelah tidak berpuas hati dengan jumlah kawasan Parlimen diperuntukkan kepada mereka.

Beliau turut menambah yang pimpinan Amanah Johor seharusnya memandang kedepan dan tidak membuat keputusan berlandaskan emosi semata-mata.

“Gelombang yang orang lihat sekarang ialah gelombang muafakat yang dibawa oleh PH jadi apabila mereka mereka tiada dalam satu gelombang yang sama, mereka akan tertinggal.

“Sedangkan kemaraan PH ini tidak mampu dikekang lagi jadi mereka ini seolah-olah inginkan perhatian tetapi perbuatan mereka itu tidak membawa sebarang makna,” katanya lagi, sambil menambah tindakan Amanah Johor itu hanya mencalarkan imej mereka sendiri dimata rakan-rakan komponen lain.

Hisommudin mengulas mengenai tindakan Amanah Johor memboikot konvensyen PH di Shah Alam semalam kerana hanya diberikan dua kerusi parlimen dari lima yang dituntut untuk ditandingi dalam PRU14 nanti. Dua kerusi berkenaan ialah Pulai dan Parit Sulong.

Amanah turut menuntut kawasan Parlimen Ayer Hitam, Simpang Renggam dan Kota Tinggi.

The Malaysian Insight difahamkan yang Amanah hanya diberikan dua kerusi Parlimen untuk ditandingi di Johor pada PRU14 nanti kerana kekurangan pemimpin yang boleh diangkat ke peringkat pusat.

Johor, yang sedang dibidik oleh PH, menawarkan 26 kerusi Parlimen dan 65 kerusi DUN. Ia juga merupakan tempat kelahiran Umno dan kubu kuat Barisan Nasional (BN) dalam Semenanjung Malaysia.

Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian turut berpendapat Amanah kini akan menuntut lebih banyak kerusi DUN di Johor bagi mengimbangi pengaruh mereka di kalangan komponen-komponen PH.

“Saya kira mereka akhirnya akan perlu terima keputusan (hanya diberikan dua kerusi Parlimen) dan mungkin akan ada tindak balas untuk kerusi DUN,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Ibrahim berkata agak sukar meramalkan kemampuan Amanah berikutan faktor kemungkinan pertembungan tiga penjuru diantara PH, BN dan PAS dalam PRU14 nanti.

Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian turut berpendapat Amanah kini akan menuntut lebih banyak kerusi DUN di Johor bagi mengimbangi pengaruh mereka di kalangan komponen-komponen Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2018.
Pengarah Merdeka Center, Ibrahim Suffian turut berpendapat Amanah kini akan menuntut lebih banyak kerusi DUN di Johor bagi mengimbangi pengaruh mereka di kalangan komponen-komponen Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Januari, 2018.

“Dari segi peluang menang, saya kurang pasti kerana perpecahan undi pembangkang Melayu. Saya kira kelebihan memihak pada BN.”

Ketua Eksekutif Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan pula berpendapat Amanah Johor kecewa kerana PKR diperuntukkan lapan kawasan Parlimen untuk ditandingi walhal tidak mempunyai rekod yang baik dalam pilihan raya-pilihan raya lalu.

“Dan ini jauh berbeza dari kekuatan parti itu (PKR) di peringkat akar umbi. Saya rasa ada beberapa persoalan yang boleh ditimbulkan, sama ada PKR boleh menang di kawasan-kawasan diberikan kepada mereka.

“Jadi dalam keadaan jentera, sejarah dan keputusan sebelum ini Amanah, yang sebelum ini merupakan pimpinan PAS, jauh lebih berpotensi untuk menang di sesetengah kerusi diberikan kepada PKR,” kata Wan Saiful apabila dihubungi The Malaysian Insight.

PH semalam mengumumkan yang ia sudah memuktamadkan rundingan kerusi Parlimen di antara parti komponennya yang menyaksikan Bersatu akan bertanding di 52 kerusi Parlimen, diikuti PKR (51), DAP (35) dan Amanah 27 kerusi.

Bersatu turut akan memainkan peranan penting di Johor di mana ia akan di bertanding 10 kerusi Parlimen, diikuti PKR (8), DAP (6) dan Amanah (2).

Rundingan pembahagian kerusi DUN bagi komponen PH di Johor pula dijangka hanya akan dimuktamadkan hujung bulan ini.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.