BODOH! ADENAN CELA DASAR PENDIDIKAN SILAM

Dasar pendidikan kira-kira tiga dekad lalu bukan antara kejayaan cemerlang kerajaan, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Memilih untuk berterus terang, ahli politik veteran itu melabelnya sebagai “bodoh”.

Adenan berpendapat adalah kurang bijak untuk mengabaikan bahasa Inggeris dan memberi penekanan terlalu banyak kepada Bahasa Malaysia.

Ahli politik veteran itu berhujah, kerajaan sewajarnya memberi penekanan mengenai kepentingan menguasai kedua-dua bahasa.

“Ketika itu, adalah diputuskan segala hubungan dengan kerajaan jika tidak dalam Bahasa Malaysia tidak akan dilayan. Bagaimana kita boleh mempunyai dasar seperti itu?

“Itulah sebabnya begitu ramai graduan hari ini gagal dapat mendapatkan pekerjaan kerana mereka tidak boleh bercakap dalam bahasa Inggeris dengan betul,” katanya yang dipetik oleh Borneo Post.

Tiga puluh tahun lalu, mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara Sungai Buloh di Selangor memegang portfolio pendidikan. Beliau banyak mendapat kritikan ketika itu kerana memperkenalkan bahasa baku.

Memetik Singapura sebagai contoh, Adenan berkata, bahasa utama di republik itu adalah bahasa Inggeris manakala kepentingan yang sama juga diberikan kepada bahasa Mandarin dan bahasa Melayu.

“Kita perlu menjalankan perdagangan antarabangsa, dan semua kontrak adalah dalam bahasa Inggeris.

“Biar kita bersikap praktikal, dan sebab itu saya katakan Sarawak perlu menggalakkan bahasa Inggeris , begitu juga dengan bahasa (Malaysia) pada masa yang sama,” katanya.

Ketua menteri itu juga meargui kemampuan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menterjemahkan semua kertas kerja saintifik dan artikel yang dihasilkan setiap hari.
Beliau berkata ratusan ribu buku sains dan matematik dihasilkan dalam bahasa Inggeris.

“Adakah kita akan menterjemahkan semua ini?” soalnya.

– M’kini

.