‘Bodoh adakan kemudian’ – DAP S’gor tetap mahu p’raya awal

DAP Selangor menuntut supaya pilihan raya negeri diadakan lebih awal sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyelesaikan proses persempadanan semula yang sedang berterusan.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, Ketua DAP Selangor Tony Pua berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat tergempar, malam semalam.

“Jika kamu buat tinjauan rambang, ramai akan menyatakan perkara yang sama.

“Adalah bodoh jika kamu berkata kita harus mengadakan pilihan raya selepas persempadanan semula selesai,” kata Pua.

Keputusan itu, katanya, dibuat berdasarkan jangkaan keputusan hasil analisis DAP Selangor selepas persempadanan semula selesai.

Pua berkata, DAP Selangor akan mencadangkan perkara itu kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan untuk keputusan muktamad.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali pada Isnin lalu menolak cadangan itu dengan berkata kerajaan negeri tidak boleh mengkhianat mandat yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Exco Selangor dijangka membincangkan langkah seterusnya tindakan berhubung cadangan persempadanan semula hari ini. – M’kini

.