BN TIDAK BERGANTUNG KEPADA KELEMAHAN PEMBANGKANG

PUTRAJAYA – BN tidak bergantung kepada kelemahan parti pembangkang untuk menghadapi PRU akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sebaliknya Umno dan BN mengambil pendekatan menguatkan jentera parti, mendekati pengundi  dan menjelaskan isu-isu semasa  untuk meraih keyakinan pengundi di Selangor.

Tajuddin berkata, pemimpin Umno dan BN juga bertindak memberi penerangan kepada rakyat mengenai kegagalan kerajaan Selangor yang mendabik dada kononnya membela rakyat dan memerintah lebih baik daripada BN dalam tempoh dua penggal.

“Selama dua penggal memerintah Selangor tak ada apa nak ditunjukkan mereka (Pakatan Harapan) , ini satu kesempatan kepada Umno dan BN untuk merampas kembali negeri yang  kita majukan dulu.

 “Selangor maju kerana BN, kita mahu kembalikan hak kita, usaha kita, titik peluh, penat lelah dan pengorbanan memajukan negeri yang diambil alih pembangkang namun akhirnya gagal memberi kebaikan kepada rakyat,” katanya.

Beliau dalam pada itu tidak mahu mencampuri persengketaan antara pemimpin parti pembangkang yang didakwanya masing-masing hanya mahu ‘tunjuk pandai’.

“Macam mana nak jadi kerajaan kalau pemimpin pun tak bersatu, biarlah mereka berpecah lagi, semuanya keras kepala,  masing-masing ingat diri hebat nak tunjuk pandai namun tak ada  kesepakatan dan berbeza pendirian serta pandangan, akhirnya bergaduh sesama sendiri.

“Dalam BN walaupun terdapat pelbagai komponen parti kita pegang prinsip berpandukan pemimipin yang utama iaitu presiden parti, kita tak bergaduh sesama sendiri untuk kepentingan diri dan ikut apa dibawa pemimpin,” katanya.

Terdahulu Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menafikan dakwaan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang menyatakan  Perak akan jatuh kepada parti pembangkang pada PRU14 nanti.

Katanya, BN akan kekal meneruskan pemerintahan di Perak kerana pelbagai persediaan rapi sudah dibuat sejak empat tahun lalu.

“Itu kata dia (Kit Siang),..dia boleh kata begitu, saya kata BN akan menang di Perak dan kekalkan kerajaan, kita dah buat persediaan…macam di tempat saya Pasir Salak kita buat kerja sejak empat tahun lalu, kita tak tunggu pilihanraya untuk  buat kerja.

“Insya-ALLAH Perak dan Pasir Salak tak kalah dan tak akan jatuh kepada parti pembangkang,” katanya.

– Sinar Harian

.