BN TERDESAK RAMPAS KERUSI GELANG PATAH: DAP

GELANG PATAH – DAP Johor menyifatkan penyebaran semakan daftar pemilih atas nama Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dan kain rentang protes terhadap pemimpin itu yang digantung sekitar Gelang Patah sebagai tindakan keanak-anakan BN yang terdesak untuk merampas semula kerusi Parlimen berkenaan.

Timbalan Setiausaha DAP Johor, Yeo Tung Siong berkata, isu daftar pemilih berkenaan tidak seharusnya ditimbulkan kerana mana-mana pemimpin parlimen berhak mengundi di kawasan masing-masing walaupun di luar kawasan kerusi yang ditandingi.

“Perkara ini tidak jadi masalah kerana calon Ahli Parlimen boleh bertanding di mana-mana kawasan, tak semestinya mesti orang Johor untuk bertanding di Gelang Patah. Malah ia juga bukan isu utama dalam kalangan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan kononnya Kit Siang melarikan diri ke Pulau Pinang dan meninggalkan pengundi Gelang Patah susulan penyebaran di laman sosial Facebook mengenai semakan daftar pengundi beliau yang dikatakan mendaftar di Dun Komtar dan Parlimen Tanjong, Pulau Pinang.

Turut tular di Facebook mengenai beberapa kain rentang digantung sekitar kawasan Gelang Patah menggambarkan seolah-olah kepimpinan Kit Siang ditolak penduduk setempat.

Sementara itu, Pegawai Tugas-tugas Khas Ahli Parlimen Gelang Patah, Ng Siam Luang berkata, tindakan menggantung kain rentang berkenaan merupakan serangan politik kotor oleh parti lawan bagi mengalih perhatian rakyat terhadap isu 1MDB yang dibangkitkan Kit Siang di parlimen.

“Mereka sepatutnya menampilkan diri di khalayak umum dan berdebat dengan pemimpin Pakatan Harapan dengan cara yang lebih rasional.

“Ini juga bukan kejadian pertama kain rentang seumpama itu digantung tetapi Kit Siang masih diterima rakyat dan tidak mengubah keyakinan pengundi terhadap DAP,” katanya.

Katanya, sekurang-kurangnya terdapat enam kain rentang digantung sekitar pekan Gelang Patah bagi menjatuhkan kredibiliti Kit Siang yang juga Penasihat DAP.

–¬†http://www.sinarharian.com.my

.