BN TAK FAHAM MAKSUD DEMOKRASI SEBENAR?

SHAH ALAM – Kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak bahawa kononnya menukar kerajaan bukan satu idea yang bijak  dilihat seolah-olah pemimpin BN tidak memahami maksud demokrasi sebenar.

Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, rakyat sepatutnya diberi peluang untuk memilih kerajaan pada PRU14 kelak.

“Bagi saya, semua menteri Umno BN tidak faham maksud demokrasi yang sebenar termasuklah beliau sendiri.

“Rakyat perlu diberi peluang untuk memilih kerajaan yang dikehendaki pada PRU 14 nanti, bukannya ditakut-takutkan dengan sentimen perkauman yang semakin berleluasa tanpa batas,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Salleh mengeluarkan kenyataan bahawa menukar kerajaan akan menyelesaikan masalah negara bukan satu saranan bijak.

Selain itu, menukar kerajaan juga tidak boleh menyelesaikan maslah perkauman dan toleransi agama yang berlaku ketika ini.

Rodziah berkata, apa yang rakyat mahukan dengan penukaran kerajaan cukup sekadar mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin melampau.

“Turunkan harga barang, mansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hapuskan tol, beri pendidikan percuma, beri biasiswa, bina rumah mampu milik dan sebagainya.

“Rakyat akan kaya dengan pentadbiran baru yang lebih jujur dan ambil berat akan kesusahan rakyat serta tidak perlu lagi untuk mengemis dan merempat di negaranya sendiri,” tambahnya lagi.

– Sinar Harian

.