BN SENGAJA TANGGUH CUKAI DEMI MENANGI PRU14 – TUAN IBRAHIM

KERAJAAN Barisan Nasional (BN) sengaja menangguhkan pelaksanaan cukai dan kenaikan tarif elektrik tahun ini yang pastinya akan menambah kemarahan rakyat, kerana ia mahu memastikan dapat memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU), kata Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam artikel disiarkan Harakahdaily, timbalan presiden PAS itu berkata sepatutnya 60 jenis barangan makanan lagi akan dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tahun ini, tetapi pelaksanaannya masih tertangguh.

Beliau turut menyentuh mengenai cukai pelancongan yang sudah pun diluluskan di Dewan Rakyat tetapi kini hanya dikenakan kepada pelancong luar negara saja.

“Kenaikan tarif elektrik tertangguh. Tarif elektrik di semenanjung Malaysia ditetapkan menerusi sistem kawal selia berasaskan insentif (IBR) yang merangkumi mekanisme Pelepasan Kos Ketidakseimbangan (ICPT) dilaksanakan pada Januari 2014.
“Di bawah sistem ini, kerajaan boleh menyemak semula kadar tarif setiap enam bulan berdasarkan perubahan harga bahan api dan penjanaan.

“Tempoh untuk pelarasan itu tamat pada 30 Jun, 2017 dan kerajaan menangguhkan penyelarasan itu setakat ini,” katanya dipetik daripada Harakahdaily.

Tuan Ibrahim berkata menurut Laporan Ketua Audit Negara 2017, pungutan hasil kerajaan merosot sebanyak RM6.7 bilion daripada RM219.1 bilion kepada RM212.4 bilion bagi 2016.

“Jadi tidak hairanlah mengapa wujudnya cadangan seperti di atas daripada kerajaan BN pada tahun ini. Mekanismenya sama, iaitu ia berbentuk menghisap duit rakyat bagi meningkatkan pendapatan negara sementara kebocoran dan ketirisan terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata apa apa yang membingungkan rakyat terutamanya kakitangan kerajaan di sektor awam yang bergelut dengan potongan bajet ialah meskipun kekurangan dana, kerajaan BN terus memberikan hadiah, yang dikatanya bukan gula-gula politik sempena PRU14.

Sebagai contoh katanya ialah pengumuman ganjaran kepada peneroka Felda yang diumumkan baru-baru ini dianggarkan melebihi RM1 bilion dan insentif kepada tentera, terutama kepada tidak berpencen dan yang tergolong dalam kumpulan B40.

“Semua ‘hadiah’ ini datang di sebalik keperluan 1MDB membayar IPIC sebanyak AS$1.2 bilion dalam dua ansuran sebelum 31 Disember, 2017.

“Namun, kini semua cadangan itu ditangguhkan. Ini gara-gara kerana PRU14 semakin dekat dan BN sedang bergelut untuk mendapatkan mandat baru daripada rakyat,” katanya.

– ttps://www.themalaysianinsight.com

.