BN PERLU KENAL PASTI KEMAHUAN RAKYAT

SHAH ALAM – Penganalisis politik, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, BN perlu kenal pasti kemahuan rakyat Selangor, Pulau Pinang jika mahu menawan kembali negeri-negeri tersebut.

“BN perlu pastikan perubahan berlaku sebelum menjelangnya PRU akan datang. BN perlu merapatkan barisannya.

“Dalam masa sama, BN juga perlu menggarap nilai kerangka minda, keperluan dan kemahuan pengundi di dua-dua negeri ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Sementara Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti UtaraMalaysia, Md Shukri Shuib pula berpendapat, peluang untuk BN untuk merampas Selangor dan Pulau Pinang agak tinggi sekiranya berlaku pertembungan kerusi antara parti pembangkang.

“BN ada peluang menang semula di Selangor dan menggugat kerajaan DAP Pulau Pinang. Di Pulau Pinang jika berlaku pertembungan BN-Pas-PKR di kerusi yang kini diwakili PKR maka kemungkinan untuk BN menang adalah tinggi.

“Jika PKR berjaya digugat maka kemungkinan hanya tinggal kerusi DAP sahaja yang kekal di Dun Pulau Pinang dan Selangor,” katanya ketika dihubungi Sinar Online, hari ini.

Mengulas mengenai PRU akan datang, Shukri berkata, beliau yakin akan berlaku pertembungan tiga penjuru melibatkan Pas, BN dan PKR meliputi banyak kawasan di dua negeri tersebut.

“Jika ini berlaku BN dan Pas boleh membentuk kerajaan baru dengan memberikan peluang untuk Pas menjadi MB di Selangor dan Umno menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Ia akan melakar sejarah baru,” katanya lagi.

– http://www.sinarharian.com.my

.