BN PERINCIKAN INPUT UNTUK RAMPAS SELANGOR

SHAH ALAM – BN Selangor sedang memperincikan pelbagai cadangan serta pandangan daripada pelbagai pihak di peringkat akar umbi serta profesional bagi menyediakan manifesto untuk merampas Selangor dari pembangkang.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, manifesto yang akan difokuskan adalah mengikut bidang dan kategori tertentu.

“Ia dijangka akan membawa khabar gembira serta membawa perubahan kepada rakyat negeri ini.

“Sebenarnya, kita dapat pandangan daripada pelbagai pihak termasuk bekas-bekas pegawai tinggi kerajaan dan pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  dalam usaha kita memberi kesejahteraan yang baik untuk rakyat di negeri ini,” katanya kepada Pemberita ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri BN Selangor di SACC, di sini malam tadi

Menurutnya, manifesto BN untuk Selangor itu juga akan dibahagikan mengikut kategori iaitu di kawasan bandar dan luar bandar dan ianya berbeza-beza mengikut 22 kawasan Parlimen di negeri ini.

“Kita mahu semua kepimpinan BN negeri ini bekerjasama mendedahkan kepincangan kerajaan pembangkang Selangor yang gagal dibela sehingga kini.

“Semua harus sedar bahawa rakyat Selangor sehingga kini masih perlu pembelaan yang sewajarnya,” katanya.

Sehubungan itu, Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, bagi mencapai hasrat itu BN Selangor perlu bekerja keras.

“Saya juga nak ingatkan agar jangan kita jadi seperti ‘si kitol’ dalam sejarah Melaka yang khianat sehingga jatuhnya kerajaan Melayu lama itu.

“Kita jangan jadi petualang untuk kepentingan peribadi sehingga parti kita tidak diterima rakyat dan akhirnya kita akan hilang kuasa,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan mereka yang tidak terpilih sebagai calon tidak mensabotaj parti.

“Jangan kita kecewa tidak jadi calon, kita mesti dahulukan parti, jalankan tugas untuk rakyat dan negara,” katanya.

– SH

.