BN mesyuarat persempadanan semula Khamis ini

PASIR SALAK – BN akan mengadakan satu mesyuarat khas Khamis ini bagi membincangkan tentang cadangan persempadanan semula yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha Agung Umno,  Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ia berikutan terdapat beberapa kerusi Parlimen BN yang dikenal pasti bermasalah dengan cadangan SPR itu.

“Kita (BN) ada masalah di Pasir Salak, Bentong dan Tapah berkaitan cadangan persempadanan itu.

“Khamis ini, kita akan panggil setiausaha bahagian diperingkat semua parti komponen untuk berbincang berkenaan masalah persempadanan semula yang dibuat SPR.

“Kita telah kenalpasti ada masalah berlaku di Tapah, Pasir Salak dan Bentong. Jadi, ia boleh disuarakan nanti dalam mesyuarat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pasir Salak di Dewan Besar Felcra Changkat Lada, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Bahagian Umno Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Menurutnya, BN akan menghantar bantahan kepada SPR sebelum 14 Oktober depan dan ia berasaskan maklum balas daripada mesyuarat yang dijalankan.

“Kita akan beri maklum balas kepada SPR dan kalau boleh SPR pinda balik cadangan yang dibuat untuk kepentingan semua pihak termasuk pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, masalah yang berlaku itu turut membuktikan bahawa BN tidak pernah terlibat dengan SPR dalam melakukan persempadanan semula sepertimana dakwaan pembangkang.

“Dengan syor yang dikemukakan jelas kita tiada kena mengena. SPR merupakan badan berkecuali dan mereka menjalankan tugas mengikut bidang kuasa yang ditetapkan,” katanya. – Sinar Harian

.