BN MENANG SEBAB PEMBANGKANG TAK BERSATU

GEMAS – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan BN berjaya memenangi setiap pilihanraya sehingga membentuk sebuah kerajaan disebabkan pihak pembangkang tidak pernah bersatu.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, parti pembangkang berlawan dengan BN dalam setiap pilihanraya sebagai parti masing-masing, menggunakan simbol masing-masing dan tidak mempunyai perpaduan yang rapat antara mereka.

“Saya fikir kalau kita boleh ada satu pakatan, satu gabungan yang kuat, maka bolehlah kita lawan dengan BN dengan harapan kita akan menang. Ini bukan mudah, mereka  (pembangkang) tak begitu terima saya sebagai pemimpin kerana saya daripada parti kerajaan yang kerap masukkan mereka dalam tahanan.

“Tapi yang peliknya apabila saya bercakap berkenaan Deklarasi Rakyat, mereka (pembangkang) menunjukkan minat untuk bekerjasama. Saya amat menghargainya, selepas saya buat u-turn saya bersama mereka (pembangkang),” katanya ketika berucap di hadapan lebih 1,000 tetamu yang hadir sempena Bicara Desa bersamanya di Felda Jelai, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu; Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke; Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Zulkifly Omar dan Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Amirudin Harun.

Mahathir berharap agar kesemua pihak pembangkang akan dapat ketepikan perbezaan pendapat antara satu sama lain kerana tidak ada satu pun parti dalam parti pembangkang yang boleh dengan sendirinya berjaya melawan BN.

“Hanya kalau mereka cantum diri mereka dalam satu gabungan dan bertindak bersama dengan satu matlamat barulah boleh kita mencapai kejayaan… inilah rahsia Parti Perikatan dan kemudiannya diikuti parti BN.

“Rahsianya ialah mereka mempunyai 13 buah parti tetapi tidak ada perpecahan di kalangan mereka dalam satu usaha untuk memenangi pilihanraya. Sebab itu kita mestilah lupakan sahaja masalah-masalah lama dan kita tumpukan kepada usaha menjatuhkan kerajaan BN,” katanya.

– SH

.