BN KECEWA ISU RUMAH SYED AL ATTAS

GEORGETOWN – Ketua Pembangkang, Datuk Jahara Hamid mempertikaikan tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang berdiam diri terhadap isu rumah agam Syed Al-Attas.

Menurutnya, beliau kecewa apabila rumah tersebut tidak di baik pulih mahupun di promosi dengan sebaiknya.

“Kini rumah agam berkenaan hanya tinggal papan tanda sahaja, sedangkan hakikatnya ekonomi kerajaan negeri turut bergantung kepada sektor pelancongan.

“Sekarang ia sudah ditutup sepenuhnya sedangkan ia adalah tarikan untuk pelancongan warisan Islam,” katanya ketika membangkitkan isu tersebut di Sidang Dun semalam.

Bagaimanapun Adun Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim membidas dakwaan tersebut dengan mengatakan penutupan rumah agam tersebut disebabkan anai-anai.

“Kerja pembaikpulihan rumah agam Syed Al Attas bukan senang hendak dilakukan, kita sedang berusaha.

“Tetapi BN perlu tahu, sejak Kerajaan Pulau Pinang memegang tampuk pemerintahan, kami sudah mewujudkan pelbagai usaha mempromosikan pelancongan Islam.

“Ia termasuk wujudnya Galeri Haji serta penubuhan Yayasan Islam Pulau Pinang yang menekankan aspek pelancongan Muslim di negeri ini.

“Malah kami turut menyediakan buku panduan untuk orang Islam,” katanya yang mencelah perbahasan Jahara, semalam.

Namun ia kemudiannya dibidas pula Adun Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin yang mengatakan Abdul Malik yang juga Exco agama negeri sebagai berbohong.

“Syarikat tidak boleh baik pulih rumah tersebut?. Tipu!, banyak syarikat yang boleh membantu untuk membaik pulih rumah agam tersebut, malah saya sendiri berkecimpung dalam industri pelancongan bumiputera di negeri ini,” katanya.

Sinar Harian pada 29 Julai tahun lalu melaporkan Rumah Syed Mohamad Al Attas di Lebuh Armenian dalam keadaan terbiar.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Dan Warisan Melayu Pulau Pinang (Sahabat), Syed Kamalrul Sufian Syed Kadiron Mustafa melalui laporan itu berkata, sebelum ini rumah berkenaan dikenali sebagai Muzium Islam namun tidak lama kemudiannya ia terbiar dalam keadaan menyedihkan.

SINAR HARIAN

.