BN kalah di P Pinang kerana Umno, Teng ingatkan Zahid

Ketika pilihan raya umum ke-14 semakin hampir diadakan, parti komponen BN kini mula menyalahkan antara satu sama lain atas kekalahan yang lalu.

BN Pulau Pinang yang dikepalai oleh Teng Chang Yeow secara jelas menempelak Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang pada awal hari ini menyatakan parti komponen di negeri ini seolah-olah bergantung kepada jentera Umno.

Sambil menyindir di parti Melayu tersebut, Teng yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata, pihak tidak menafikan jentera pilihan raya Umno adalah yang terhebat.

“Jentera mereka begitu hebat dengan tidak dapat menawan semula Kelantan dan Selangor.

“Jentera Umno di bawah Naib Presidennya, Ahmad Zahid sendiri sebagai pengarah bersama operasi pilihan raya kecil Permatang Pauh tidak menang di kawasan itu,” ujar Teng dalam kenyataan.

Tambah Teng, Zahid patut tahu mengapa BN kalah di Pulau Pinang pada pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Dalam tempoh dua pilihan raya lepas , Umno berjaya menguasai 11 dan 10 kerusi dewan undangan negeri manakala Gerakan , MCA dan MIC langsung tidak berjaya memenangi satu kerusi sekalipun.

“Kami kalah di Pulau Pinang bukan kerana jentera atau perpaduan tetapi kerana Umno,” tegas Teng. – M’kini

.