BN GUGUR KLAUSA 88A KERANA UNDI MELAYU, HUBUNGAN DENGAN PAS

TINDAKAN Putrajaya mengeluarkan Klausa 88A daripada Rang Undang-undang (RUU) Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 (Akta 164) hanya bertujuan memastikan Barisan Nasional (BN) memenangi undi Melayu, kata pemimpin pembangkang dan penganalisis.

Mereka berkata ia juga bertujuan menjaga “kerjasama” antara Umno dan PAS yang sekarang ini berlaku “secara tidak langsung.”

“Kemungkinan besar, pengguguran klausa itu untuk dapatkan undi Melayu. Tetapi pada pandangan saya ia sangat tidak bertanggungjawab dan kerajaan tidak berani berdepan dengan isu dan masalah,” kata Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin kepada The Malaysian Insight.

“Umno juga hendak jaga hubungan dengan PAS. Kedua-dua Umno dan PAS mungkin sedar susah nak dapatkan undi bukan Melayu dan bukan Islam, jadi mereka kini ‘full gear’ untuk dapatkan undi Melayu,” katanya.
Pengerusi Biro Undang-undang Amanah itu berkata isu ini seharusnya dibahaskan dan semua pihak harus diberikan peluang untuk mengeluarkan hujah masing-masing.

“Tak sewajarnya kerajaan cuba sapu masuk bawah permaidani.”

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said pada Selasa membentangkan pindaan RUU itu yang menggugurkan klausa 88A.

Klausa 88A menyatakan agama anak terlibat kekal biarpun salah seorang atau kedua-dua ibu bapanya memeluk agama lain.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berkata jika klausa 88A dimasukkan dalam pindaan RUU itu, BN berkemungkinan besar akan kehilangan sokongan Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Isunya, mengapa kerajaan tak dapatkan pandangan pembangkang (sebelum tarik balik RUU)? Kerajaan tidak perlu takut jika semua pihak berjaya difahamkan,” kata ketua Wanita PKR itu.

“Walaupun ahli Parlimen mempunyai latar belakang agama yang berbeza, tiada masalah sekiranya mereka faham.”

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata dalam keadaan PRU14 bakal menjadi paling mencabar dalam sejarah, Umno sebagai parti tunjang BN akan berhati-hati dalam setiap isu agar tidak ada implikasi negatif.

“Umno perlu dilihat oleh pengundi Melayu sebagai sebuah parti yang masih relevan dalam membela kepentingan Islam dan Melayu.

“Tidak terkecuali dalam isu yang berkaitan dengan pengguguran klausa 88A RUU Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 (Akta 164) yang mampu melonjak sokongan orang Melayu kepada Umno dan BN,” katanya.

Hisomuddin berkata langkah Putrajaya itu juga mampu menguatkan ikatan “tidak rasmi” di antara Umno dan PAS.

“PAS merupakan entiti politik yang secara strategiknya harus Umno manfaatkan untuk memastikan tiada undi akan disalur keluar kepada gabungan pembangkang terbesar iaitu Pakatan Harapan.

“Pengguguran klausa 88A dilihat sebagai langkah strategik Umno dan PAS memastikan undi Melayu masih menjadi milik mereka pada PRU14 akan datang,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.