BN BAKAL HILANG BANYAK UNDI MELAYU

CADANGAN untuk menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan menyebabkan BN akan hilang lebih banyak undi Melayu pada PRU14.

“Cadangan daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu, seolah-olah mengakui BN sudah tidak ada harapan untuk menerima sokongan daripada pengundi bukan Melayu.

“Malah kemungkinan akan hilang lebih banyak undi Melayu sekali gus, menyebabkan Umno mengalami kekalahan yang lebih teruk pada PRU14,” kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Beliau berkata demikian, mengulas hasrat Tengku Adnan baru-baru ini untuk menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan yang bermatlamat memastikan negeri itu mendapat limpahan pembangunan sama rata.

Tengku Adnan turut berkata, beliau bukanlah berniat mahu meluaskan kuasa ke Pulau Pinang, sebaliknya disebabkan keprihatinan beliau terhadap nasib Melayu di sana.

Sementara itu, Kit Siang berkata, beliau tidak terkejut pemimpin Umno kini berada dalam kedudukan risau dan terdesak kerana Umno sedang menghadapi keadaan bahaya kehilangan lebih banyak kerusi parlimen dan Dun.

“Keadaan ini bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang, tetapi juga di seluruh negara. Sebab itulah ramai pemimpin dan ahli Umno serta cybertrooper Umno terus meningkatkan politik pembohongan dan balas dendam mereka,” kata Kit Siang seperti dilaporkan dalam Sin Chew Jit Poh.

Mengulas isu sama, Presiden Gerakan yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata, kenyataan yang dibuat oleh Tengku Adnan ibarat ‘hadiah’ kepada DAP untuk digunakan sebagai publisiti.

“Sama ada Tengku Adnan ataupun Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, kedua-dua mereka adalah seperti Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang ‘bercakap tanpa gunakan otak’,” kata Chang Yeow.

Teck Meng tanding di Simpang Renggam

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Liang Teck Meng sudah dikenal pasti akan mempertahankan kerusi parlimennya pada PRU14.

Ia disahkan oleh Naib Presiden Gerakan, Datuk Teo Kok Chee seperti dilaporkan dalam Nanyang Siang Pau, setelah ada ura-ura menyatakan Umno berhasrat mengambil alih kerusi Parlimen Simpang Renggam daripada Gerakan.

Teck Meng mula menjadi ahli parlimen tersebut sejak 2008. Beliau kini menjadi Setiausaha Agung Gerakan dan juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span).

“Pusat parti telah memutuskan untuk Teck Meng terus bertanding di Simpang Renggam. Manakala calon-calon untuk kerusi Dun juga telah dikenal pasti dan hanya akan mengumumkan pada masa sesuai,” kata Kok Chee kepada Nanyang Siang Pau.

Pada PRU lalu, Gerakan memenangi satu kerusi parlimen dan satu kerusi Dun di Johor, iaitu Parlimen Simpang Renggam dan Dun Permanis.

Selain Umno yang menyatakan minat untuk bertanding di Simpang Renggam, MCA turut pernah memberikan kenyataan secara terbuka untuk bertanding di Dun Permanis.

Cuma tidak dapat Sijil Sirim

Sebanyak 200 syarikat pengeluar tayar celup bukan beroperasi secara haram seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar baru-baru ini, sebaliknya tidak memperoleh Sijil Sirim.

Menurut persatuan pengusaha tayar celup, walaupun pihaknya tidak mempunyai jumlah sebenar syarikat yang terbabit, namun yang pasti semua syarikat tersebut mempunyai lesen perniagaan secara sah.

“Teknik pencelupan tayar di negara kita boleh dianggap tinggi di rantau Asia. Sebelum memperoleh Sijil Sirim, ia perlu mematuhi piawaian yang ketat yang ditetapkan Sirim,” jelas kenyataan itu seperti disiarkan dalam China Press.

Menurut akhbar berkenaan, pergerakan syarikat haram terbabit didakwa berselindung di sebalik perniagaan lain, misalnya syarikat pengangkutan tetapi dijalankan pada kapasiti rendah bagi mengelakkan dihidu penguat kuasa.

“Biasanya di depan, mereka buka perniagaan seperti biasa tetapi di bahagian belakang buat tayar celup. Oleh kerana mereka ada perniagaan utama lain, pengeluaran tayar celup itu dilakukan pada kadar antara 600 hingga 800 tayar sahaja dalam sebulan,” tulis akhbar berkenaan.

– M’kini

.