BN AKAN BERPECAH JIKA AKTA 355 DIBENTANG – MCA

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran Umno berisiko memecahkan BN jika parti dominan gabungan pemerintah itu dengan sengaja membentangkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.

Ini bakal terjadi jika kerajaan membentangkan rang undang-undang seumpama itu atau sama dengan usul Akta 355 yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, katanya.

“Walaupun (kita) hanya ada tujuh ahli parlimen di Dewan Rakyat, kita akan mengundi menentangnya,” katanya dalam satu temu bual dengan akhbar Sin Chew.

Jika Umno tidak mempedulikan suara yang tidak sehaluan daripada parti komponen BN, Liow berkata, maka ia akan menjadi dalang yang memecahkan BN.

“Parti yang mendukung rang undang-undang yang tidak berperlembagaan ini serta mereka yang mengundi untuk menyokongnya adalah dalangnya.

“Umno yang mengkhianati semangat BN, bukan MCA,” katanya.

Liow turut mempersoalkan adakah BN mampu terus wujud tanpa imejnya terjejas.

Perhimpunan Akta 355 PAS bertujuan mendapatkan sokongan rakyat terhadap pindaan itu yang akan membolehkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman yang lebih berat dengan meningkatkan had hukuman penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan rotan kepada penjara sehingga 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 kali sebatan.
Mengulas lanjut, Liow berkata dua sistem undang-undang akan hanya memecah-belahkan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat, terutamanya masyarakat Cina, supaya tampil bagi menghalang pindaan itu daripada diluluskan di Parlimen.

– M’kini

.