Bilik rumah Mat Sabu terbakar

TASEK GELUGOR – Sebuah rumah dipercayai didiami Presiden Amanah Mohamad Sabu terbakar di Kampung Guar Petai petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.49 petang itu, dipercayai melibatkan ruangan bilik di rumah tersebut.

Difahamkan ketika kejadian, Presiden Amanah itu berada di Kuala Lumpur manakala anaknya yang menetap di situ menghadiri kenduri di Kepala Batas.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Negeri berkata pihaknya menerima panggilang kira-kira jam 15.49 petang memaklumkan mengenai kejadian.

“Sepasukan anggota Bomba dari Balai Bomba Tasek Gelugor dibantu anggota Balai Bomba Kepala Batas dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba sekitar jam 4.04 petang.

“Pihak Bomba kemudiannya bertindak membuat kerja-kerja bagi memadamkan kebakaran tersebut dan api berjaya dikawal sekitar jam 4.15 petang dan dipadamkan sepenuhnya sekitar jam 4.16 petang,” katanya.

Katanya, kebakaran melibatkan 35 peratus dari keseluruhan rumah dan hanya melibatkan bahagian bilik rumah tersebut.

“Buat masa ini, pihak Bomba masih menjalankan siasatan mengenai punca sebenar kejadian dan anggaran kerugian akibat kejadian.

“Kejadian difahamkan tidak melibatkan mangsa di dalam rumah berkenaan,” katanya. – Sinar Harian

.