‘BILA SUDAH TIADA KUASA, SEMUA DIDEDAH’

SHAH ALAM – Pas menyindir budaya politik di negara ini yang hanya mendedahkan kesalahan pemimpin apabila tidak lagi berkuasa.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, sedangkan ketika pemerintahan pemimpin tersebut, semuanya diam membisu.

“Inilah budaya, apabila tidak berkuasa semua terdedah. Semua pakat bersuara tentang salah laku pemimpin sebelumnya,” katanya dalam  satu kenyataan, semalam.

Katanya, sikap tidak baik itu berlaku di dalam tata kelola pentadbiran di negara ini.

“Sifir mudahnya, buatlah apa sahaja sewaktu kamu berkuasa, kerana semuanya kebal tidak ada siapa yang berani menyentuh. Ia akan terdedah apabila sudah tidak berkuasa.

“Inilah yang berlaku kepada Tun Dr Mahathir (Mohamad) sekarang. Segala yang beliau lakukan akan terdedah. Selama ini semuanya menikus,” katanya.

Idris berkata, yang menjadi mangsa perbuatan pemimpin yang tidak telus ialah rakyat.

“Pemimpin dan kroni tidak terasa dengan permainan mereka, tetapi rakyat menderita kerana asas ekonomi negara kucar kacir. (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) pun perlu ambil ingatan, apa yang berlaku mengenai 1MDB  (1Malaysia Development Berhad) juga akan terdedah apabila beliau tidak ada kuasa.

“Oleh itulah ia tidak akan selesai jika hanya tukar individu, bukan sistem. Siapa pun naik maka itulah yang berlaku kerana skrip sama, cuka pelakon berbeza. Sebab itu Pas yakin perubahan bersama Islam untuk selamatkan negara dan rakyat di negara ini,” katanya.

– Sinar Harian

.