BILA PULA ZAHID HAMIDI NAK MELAWAT ANWAR?

Pelbagai spekulasi segera berlegar di ruang atmosfera politik negara berikutan kunjungan tak diduga Najib Razak terhadap Anwar Ibrahim yang kini berada di Hospital Kuala Lumpur selepas menjalani pembedahan bahu, Ahad lalu.
Turut bersama dalam lawatan Najib itu ialah isterinya, Rosmah Mansor serta isteri Anwar, Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen.
Dikatakan bahawa pemenjaraan Anwar sekarang ini adalah atas konspirasi yang didalangi Najib sendiri kerana Saiful Bukhari Azlan diketahui ada bertemu beliau (ketika itu masih Timbalan Perdana Menteri) sebelum membuat laporan polis mendakwa dirinya diliwat dan kemudian dalam pembentangan Bajet 2018 lalu, Najib turut mempersenda nama isteri Anwar itu, sedangkan yang dirujuknya ialah seorang pengusaha ayam, kedatangan Perdana Menteri melawat bekas Timbalan Perdana Menteri itu memang agak mengejutkan banyak pihak.
Apakah tujuannya?
Apakah Najib kini sedang cuba menagih simpati rakyat berikutan asakan Tun Mahathir kian membuatkannya semakin lemas menghadapi PRU 14 akan datang?
Mungkinkah dengan kunjungan Najib ini, Anwar akan terus dibenarkan berada di HKL menjalani rawatan sehingga keadaan bahunya benar-benar pulih?
Atau tidak mustahilkah Anwar akan dibebaskan lebih awal dari Penjara Sungai Buloh?
Jika sebelum ini, Tun Mahathir sedia berdamai dengan Anwar untuk menambahkan kekuatan bagi menjatuhkan Najib, apakah kini Najib juga menggunakan pendekatan yang sama iaitu mencari Anwar untuk tujuan mengekalkan kuasanya?
Kalau begitu, adakah kunjungan Najib ini merupakan permulaan kepada babak-babak lain yang lebih menarik untuk mengkucar-kacirkan Pakatan Harapan yang nampaknya macam mustahil akan diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan?
Adakah dengan mengunjungi Anwar yang mungkin adalah petunjuk untuk berbaik-baik dengan PKR menunjukkan sokongan Pas kepada UMNO dan BN selama ini masih belum cukup untuk Najib mencipta kemenangan dalam PRU 14 akan datang?
Apakah nasib Pas selepas ini?
Namun demikian, apakah tidak keterlaluan kiranya kunjungan Najib kepada Anwar ini sekadar ziarah kepada bekas rakan lama di mana mereka adalah gandingan yang pernah memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Naib Ketua Pemuda UMNO suatu ketika dahulu?
Cuma, bila lagi agaknya Zahid Hamidi yang dulunya merupakan pengikut setia Anwar mahu menziarahi bekas bossnya itu di HKL pula?

Kalau hanya tidak lama selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi boleh mengunjungi Tun Mahathir, adakah tidak boleh beliau meluangkan masa menziarahi Anwar yang banyak berbudi kepadanya?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.