BILA PRU? NAJIB TUNGGU ILHAM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini sedang menunggu percikan ilham bagi mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Saya menunggu, saya tidak tahu (bila PRU). Menunggu semacam percikan atau ilham atau satu masa yang terbaik.

“Selagi kita buat ikut perlembagaan, lihatlah perlu tunggu hingga Jun, parlimen akan automatik bubar atau lebih awal. Kita akan lihat keadaan,” kata Najib dalam sidang media selepas Mesyuarat Anggota Majlis Tertinggi Umno di PWTC hari ini.

Najib berkata demikian ketika ditanya berkenaan tarikh PRU14 memandangkan beliau berpuas hati dengan keadaan ekonomi negara yang menurutnya bertambah baik.

Najib dalam sidang medianya hari ini berkata ringgit berada dalam keadaan semakin mengukuh dan Bursa Saham turut berada di paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

Selain itu, katanya kadar inflasi berada di tahap yang rendah dan pengangguran juga sekitar empat peratus.

Najib juga berkata beliau berpuas hati dengan dengan prestasi Umno dan BN serta menyindir pembangkang yang dilihat tidak kuat dalam menuju PRU ke-14.

“Apa yang berlaku sehari dua ini menunjukkan mereka ini rapuh secara dalaman parti, dan sepatutnya tak beri keyakinan pada rakyat, kewibawaan mereka bawa kestabilan politik negara jauh lagi bawa agenda transformasi yang besar pada negara kita,” katanya.

– M’kini

.