BILA FGV GAGAL, FELDA PULA TERBEBAN – ANAK

Sementara mengalu-alukan penyediaan dana pusingan RM100 juta oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) tetap menzahirkan kebimbangan dengan kedudukan kewangan syarikat perladangan tersebut.

Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata, pihaknya sangat kecewa dengan sikap lepas tangan kerajaan kerana segala beban semasa yang terpaksa ditanggung oleh Felda adalah berpunca daripada kegagalan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

“Kenyataan (Pengerusi Felda), Tan Sri Shahrir Abdul Samad bahawa penjualan aset dilakukan demi menyelesaikan masalah peneroka adalah gambaran jelas situasi kewangan yang parah sedang melanda Felda.

“Nampaknya, Felda tiada pilihan sehingga terpaksa menjual aset-asetnya. Jika seorang peniaga berbuat begitu, ia petanda menghampiri gulung tikar.

“Jika amalan ini berterusan, aset-aset Felda akan lenyap dan Felda tidak punya apa apa lagi sebagai sandaran. Ia amat menakutkan!

“Oleh itu, ANAK sangat kecewa dengan sikap lepas tangan kerajaan. Segala beban terpaksa di tanggung oleh Felda, walhal, segalanya berpunca dari kegagalan FGV,” katanya dalam kegagalan.

Semalam, Shahrir mengumumkan akan mewujudkan dana pusingan RM100 juta untuk memastikan pembayaran hasil seminggu sekali kepada peneroka dapat dilakukan seperti sebelum ini.

Kata Shahrir, dana pusingan dari Felda itu bertujuan melancarkan pembayaran hasil mingguan itu sementara mendapat bayaran daripada kilang sawit yang menjadi antara fokus utama Felda ketika ini agar penubuhan asalnya dalam mengutamakan kebajikan peneroka tercapai.

Mengenai dana pusingan RM100 juta itu, Mazlan berkata, ia diharapkan dapat menyelesaikan kemelut yang berlanjutan berbulan lamanya ekoran kelewatan pembayaran.
“Akibatnya peneroka menghadapi berbagai kesukaran seperti kos upah, sewa lori, kos sara hidup dan tanggungan lain.

“Namun, apa yang membimbangkan, berapa lamakah dana tersebut boleh bertahan kerana jumlah peneroka yang terlibat sekitar 10 ribu orang.

“ANAK ingin persoalkan tanggungjawab siapa sebenarnya yang membuat pembayaran ke atas peneroka berkenaan hingga dana pusingan terpaksa di sediakan,” tanya Mazlan lagi.

– M’kini