Bil roaming boleh cecah puluhan ribu ringgit

SEORANG pengguna telefon pintar telah berada di Timur Tengah selama 12 hari dilaporkan telah menerima satu ‘kejutan’ bil telefon berjumlah RM122,703 untuk khidmat ‘data roaming’.

Satu lagi kes berlaku untuk perjalanan selama empat hari ke Singapura dan pengguna dikenakan caj sebanyak RM23,000 kerana memeriksa e-mel dalam tempoh tersebut.

Melayari internet di telefon bimbit semasa di luar negara boleh menjadikan bil anda melambung tinggi. Jika tidak berhati-hati, ia boleh berakhir dengan caj data yang dikenakan melebihi harga sebuah kereta. Nama-nama besar juga tidak terkecuali berdepan situasi ini.

Seorang “mangsa” yang dikenakan caj yang tinggi adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang menerima ‘bil kejutan’ selepas perjalanan yang singkat ke Indonesia pada 2013.

“Saya hanya menggunakan ‘data roaming’ selama beberapa minit sehingga akhir penginapan saya tetapi saya telah dikenakan bil sejumlah RM4,500 untuk itu,” katanya dipetik dari The Star.

Dalam kes lain, Sara Kamal (bukan nama sebenar), 45, mengadu bahawa dia telah dihantar bil berjumlah RM23,000 selepas menggunakan servis ‘data roaming’ selama empat hari semasa perjalanan urusan perniagaan ke Singapura pada tahun 2011.

“Saya terkejut apabila saya mendapat bil seperti itu kerana saya hanya memeriksa e-mel saya semasa makan tengah hari dan makan malam ketika berada di sana.

Syarikat telekomunikasi berkata ia disebabkan data roaming saya sentiasa diaktifkan. Walaupun bil saya telah diselesaikan oleh syarikat, saya rasa ia sangat tidak patut,” katanya. – Sinar Harian

.