BIAR TUAN IBRAHIM, MUKHRIZ SAHAJA KELUAR KENYATAAN

SHAH ALAM – Pimpinan Pas diminta supaya tidak mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung pertemuan Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), baru-baru ini.

Ini kerana menurut Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, ia telah menyebabkan kekeliruan besar berhubung status hubungan Pas dan Bersatu.

“Saya fikir pemimpin Pas yang lain tidak perlulah mengeluarkan kenyataan tentang perbincangan kerjasama yang diketuai Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dengan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Tuan Ibrahim (selepas pertemuan) kata sudah tubuh jawatankuasa teknikal, Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasruddin Hassan pula keluarkan kenyataan menyatakan hasil pertemuan itu akan dibincang dalam Mesyuarat Pas Pusat, bukankah ia mengelirukan semua pihak?” soalnya kepada Sinar Online, hari ini.

Pertemuan yang berlaku antara Pas dan Bersatu baru-baru ini masih diperingkat perbincangan dan penelitian, kata Nasrudin, 3 Februari lalu.

Katanya, mengikut polisi Pas, hasil perbincangan oleh wakil parti akan dibawa balik ke Mesyuarat Pas Pusat untuk dibincang dan diputuskan semula.

– Sinar Harian

.