BIAR PAS SELANGOR DENGAN MATLAMAT MEREKA: SUEE LIM

SHAH ALAM – Terserah kepada Pas untuk bertanding di mana-mana kerusi termasuk di Dun Bukit Antarabangsa mahupun Kajang kerana itu pendirian mereka yang perlu dihormati.

Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, pihaknya percaya keputusan yang dibuat Pas Selangor itu mempunyai sasaran dan perancangan tertentu.

“Itu sudah menjadi lumrah, mana-mana parti politik mempunyai sasaran masing-masing untuk menang dalam pilihan raya umum.

“Negara ini mempunyai prinsip demokrasi, Pas Selangor berhak bertanding di mana-mana sahaja kerusi yang mereka inginkan dan saya tidak mahu keruhkan lagi,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Beliau berkata demikian mengulas susulan pengumuman Pas Selangor untuk meletak calon di kerusi Dun Bukit Antarabangsa dan Dun Kajang yang  masing-masing diwakili Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Suee Lim yang juga Adun Sekinchan berkata, sememangnya Pakatan Harapan sebelum ini bersama Pas bersetuju untuk mewujudkan pertandingan satu lawan satu.

“Tapi jika ini keputusan Pas Selangor kita kena terima, biar mereka dengan matlamat mereka.

“Pada masa sama, kita di Pakatan Harapan akan tetap bekerja dalam satu pasukan termasuk akur dengan keputusan pucuk pimpinan tertinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan boleh berlaku menjelang PRU14.

“Masih terlalu awal untuk menilai apa yang dicakap itu akan menjadi, kena tunggu dan lihat,” katanya.

Terdahulu, Pas Selangor mengumumkan bersedia untuk bertanding di 42 daripada 56 kerusi Dun Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Pesuruhjayanya, Sallehen Mukhyi berkata, mereka juga bersedia untuk menghantar calon bertanding di Dun Bukit Antarabangsa dan Dun Kajang.

– Sinar Harian

.