BEZA SIKAP TRUMP & NAJIB

AKHIRNYA Presiden Donald Trump membuka mulutnya bersuara mengecam semua tindakan kumpulan ekstremis dan perkauman haluan kanan.

Ini adalah selepas beliau dikecam hebat kerana sikapnya tidak mengecam tindakan demonstrasi agresif puak perkauman haluan kanan dan tindakan ganas yang mengakibatkan kematian dan kecederaan ramai di Charlotesville .

Sebelum pada ini pun, sejak kempen pilihan raya, Trump membela dan tidak mengkritik pihak “supremacist” — ketuanan kulit putih, yang menyasarkan bangsa dan agama lain termasuk umat Islam.

Atas kepentingan awam, Trump bertindak mengeluarkan kenyataan sebagai ketua negara untuk semua yang sepatutnya menjaga kepentingan semua rakyatnya. Ini adalah satu pencapaian demi kebaikan umum.

Bagaimana pula dengan Perdana Menteri Najib Razak dengan situasi masalah perkauman dan pandangan ekstrem keagamaan di Malaysia hari ini serta tindakan kekasaran merusuh dalam forum bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini?

Bukankah Najib melaungkan konsep wasatiah atau kesederhanaan, dan juga mempelopori pertubuhan Global Movements of Moderates iaitu gerakan kesederhanaan global?

Kenapa sehingga kini masih “cakap tidak sama bikin”?

Kalau Trump yang dilihat begitu agresif sanggup mengeluarkan kenyataan menegur kumpulan ekstrem dan ganas, kenapa tidak Najib? Isu pihak-pihak mengatakan “halal darah”, “wajib dihapuskan” dan “kafir harbi” tidak pernah ditegur oleh Najib.

Ini boleh dan telahpun ditafsirkan sebagai Najib merestui itu semua.

Soalnya mengapa? Kepentingan politik?

Adakah Najib menunggu peristiwa berdarah seperti di Charlottesville sebelum bersuara atau beliau akan terus mengisytiharkan “darurat” apabila ia berlaku?

Inilah pertanyaan di mulut dan minda rakyat Malaysia hari ini apabila memerhati budaya keganasan dan ekstrem yang makin merebak.

Hari ini kita mempunyai perdana menteri yang bisu tentang isu puak pelampau bangsa dan agama serta keganasan tempatan.

Najib perlu ingat yang dia adalah perdana menteri untuk seluruh Malaysia dan bukan hanya untuk Umno dan Barisan Nasional (BN).

Oleh itu, tindakan beliau mesti menunjukkan watak seorang negarawan dengan sikap seorang ayah yang perlu menjaga kebajikan dan keselamatan semua di bawah tanggungjawabnya, seperti dituntut oleh Islam.

Kalau Donald Trump boleh berubah pendirian menunjukkan sikap yang lebih bertanggung jawab, kenapa tidak Najib seorang Islam dengan pendekatan wasatiah atau kesederhanaannya? – 15 Ogos, 2017.

*Raja Bahrin Shah adalah ahli Parlimen Kuala Terengganu.

.