BETULKAH KETUA SPRM HENDAK DIPECAT, TANYA PEGUAM DR MAHATHIR

BENARKAH Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) sudah mengusulkan agar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dzulkifli Ahmad dipecat kerana didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang?

Itulah inti pati kenyataan media yang dikeluarkan oleh Haniff Khatri, peguam kepada Dr Mahathir Mohamad, malam tadi.

Beliau menarik perhatian kepada berita yang disiarkan di portal berita Free Malaysia Today yang mendedahkan perincian cadangan pemecatan Dzulkifli, bersabit penyebaran rakaman video yang didakwa percutian beliau ke luar negara bersama wanita itu.

Haniff mendakwa laporan FMT itu sudah ditarik balik dari laman webnya.

“Adakah berita Free Malaysia Today 22.12.2017, bertajuk ‘Remove MACC chief for alleged misconduct, judicial commission proposes’, itu dibawa turun dan dihentikan edaran kepada awam, adalah atas desakan mana-mana pihak dari Kerajaan Najib Razak?” tanya Haniff.

“Adalah tanggungjawab pengurusan Free Malaysia Today untuk maklumkan kepada rakyat yang prihatin sama ada berita itu telah dibawa turun oleh mereka kerana desakan dari pihak Kerajaan Najib Razak disebabkan kandungannya, ataupun tidak  ,” tambah beliau.

Peguam Haniff Khatri Abdulla menarik perhatian kepada berita yang disiarkan di portal berita Free Malaysia Today yang mendedahkan perincian cadangan pemecatan Dzulkifli, bersabit penyebaran rakaman video yang didakwa percutian beliau ke luar negara bersama isteri orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2017.
Peguam Haniff Khatri Abdulla menarik perhatian kepada berita yang disiarkan di portal berita Free Malaysia Today yang mendedahkan perincian cadangan pemecatan Dzulkifli, bersabit penyebaran rakaman video yang didakwa percutian beliau ke luar negara bersama isteri orang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Disember, 2017.

Dalam kenyataannya yang disiarkan melalui Facebook, Haniff menurunkan semula keseluruhan berita berkenaan.

Laporan itu memperincikan cadangan SPKU untuk menyingkirkan Dzulkifli daripada jawatannya sekarang di SPRM.

Dalam laporan yang memetik sumber itu, FMT melaporkan suruhanjaya itu sudah meminta Perdana Menteri Najib Razak untuk menasihati Yang Di-Pertuan Agong untuk memecat Dzulkifli.

Cadangan itu dibuat bersabit dakwaan salah laku Dzulkifli yang kini sedang disiasat oleh polis.

Polis menyisat Dzulkifli mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan atas tuduhan “memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang perempuan yang bersuami dengan tujuan untuk mengadakan hubungan seks.”

Sebelum memegang jawatannya sekarang di SPRM, Dzulkifli adalah pegawai kanan di Pejabat Peguam Negara, jabatan yang disertainya sejak 1993. Beliau dipinjamkan ke SPRM tahun lalu dan jawatannya kini masih di bawah SPKU, kata laporan FMT itu.

Dzulkifli sebelum ini berkhidmat sebagai timbalan pendakwa raya dan mengetuai Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara.

Dalam kenyataannya, Haniff juga mendakwa anggota SPKP yang dihubungi oleh penulis berita itu tidak menafi berita berkenaan.

“Pemberita berita Free Malaysia Today 22.12.2017 berkenaan juga telah cuba perolehi pengesahan laporan… daripada Setiausaha SPKP, Zainal Abidin Ahmad (dan) Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa, namun beliau dilaporkan tidak memperolehi apa-apa respons daripada kedua-dua pihak tersebut,” kata Haniff.

Peguam itu menambah, Peguam Negara Mohd Apandi Ali, yang juga anggota SPKP, bagaimanapun menjawab pertanyaan wartawan FMT itu.

“Kamu patut tanya pengerusi atau setiausaha SPKP,” kata Apandi, seperti dipetik oleh FMT. Apandi kini dilaporkan berada di luar negara.

“Rakyat ada hak untuk tahu, hak untuk bertanya dan hak untuk mendapatkan maklumat…” kata Apandi lagi.

Menurut Haniff, sekiranya laporan FMT itu benar dan tepat, Najib hendaklah mengikut cadangan suruhanjaya itu, “berteraskan tanggungjawab Perlembagaan.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.