BERUNDING DENGAN PKR: BOLEH JADI TAPI TAK MUNGKIN, KATA PAS

PAS tidak menolak kemungkinan rundingan peruntukan kerusi dengan PKR untuk pilihan raya umum ke-14, walaupun menyedari ia mungkin tidak dilakukan memandangkan persediaan sudah pun dibuat untuk pertarungan tiga penjuru.

Portal dalam talian Free Malaysia Today memetik pengarah penyelidikan PAS, Mohd Zuhdi Marzuki mengulas kenyataan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini bahawa partinya tidak menolak kemungkinan membincangkan peruntukan kerusi dengan sekutu bekas Pakatan Rakyat itu.

“Kami telah menjalankan kajian di seluruh negara dan meminta responden untuk memberi pandangan mereka mengenai PAS dan sama ada kita perlu bekerjasama dengan PH atau Barisan Nasional (BN).

“Kita mendapati mereka, terutama Melayu-Islam, mahu PAS membentuk dan menerajui bloknya sendiri bukannya bekerjasama dengan PH atau BN,” Zuhdi dilaporkan berkata, sambil menambah ia penemuan di banyak kawasan.

Dari segi persediaan, Zuhdi dilaporkan berkata jentera pilihan raya PAS hampir 100 peratus siap dan sebarang rundingan kerusi dengan PKR atau HARAPAN hanya akan menyebabkan pusingan 180 darjah dan akan menjejaskan usaha jentera pilihan raya.

Walaupun PKR dilihat mengambil pandangan yang lebih terbuka terhadap rundingan kerusi itu, Zuhdi juga berkata perbincangan dengan parti itu tidak mungkin kerana perwakilan PAS pada muktamar yang lalu, telah membuat pendirian mereka jelas dan mengundi untuk memutuskan hubungan dengan PKR.

Keputusan ini kemudiannya disokong oleh majlis syura sebagai badan pembuat keputusan tertinggi PAS.

Selepas perpecahan bekas pakatan pembangkang Pakatan Rakyat, PAS telah menubuhkan blok ketiga yang digelar “Gagasan Sejahtera” dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia dan NGO lain.

Wan Azizah, yang juga presiden Pakatan Harapan, baru-baru ini berkata matlamat utama dalam PRU14 adalah untuk menjatuhkan BN dan PKR terbuka untuk mencuba apa juga untuk mencapai matlamat itu.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali yang dilantik sebagai pengarah pilihan raya HARAPAN mendedahkan bahawa perbincangan tidak formal dengan PAS telah berlangsung sejak beberapa bulan yang lalu.

– M’kini

.