BERUANG DAN ANGGUR MASAM

Ada suatu cerita dahulu kala yang banyak dikisahkan zaman berzaman mengenai seekor beruang dan buah anggur. Cerita ini berlaku dalam sebuah hutan.
Ketika berjalan-jalan, beruang tiba-tiba terpandang buah anggur yang sedang ranum dari sebatang pohon. Buahnya yang kemerah-merahan itu segera menggamit seleranya.
Keinginan untuk memetik buah anggur itu dan memasukkan ke dalam mulutnya seperti tidak dapat ditahan-tahan lagi. Apalagi, beruang pun segera melompat untuk meragut buah anggur yang tergantung-gantung itu.
Sekali melompat, tangannya tidak sampai untuk mencapai buah anggur itu, lalu dicubanya sekali lagi. Gagal lagi. Dia melompat lagi, tetapi gagal juga memetiknya.

Berkali-kali cuba melompat, sehingga akhirnya keletihan tetapi tidak juga dapat dipetiknya anggur itu.

Baru disedarinya bahawa buah anggur yang sedang masak ranum itu agak tinggi dan tak sampai dek capaian tangannya, meskipun telah cuba melompat untuk memetiknya berkali-kali.

Beruang akhirnya duduk termenung memikirkan nasib dirinya. Tidak lama kemudian, dia berbisik kepada dirinya, “kenapa bodohnya aku bersusah payah melompat untuk memetik anggur yang sebenarnya masam dan tidak enak untuk dimakan itu?”

Dia kemudian berlalu pergi, tetapi dalam hatinya tetap ada rasa kesal dan sesekali tertoleh-toleh buah anggur yang gagal dipetiknya itu.

Lumrahnya begitulah – kalau dah tak dapat anugerah, akan dikatalah tak terhegeh-hegeh. Cuba kalau dapat?

Mujurlah ada kisah beruang dan anggur masam, dapatlah juga Salleh Said Keruak meneruskan pembodekannya dengan mengatakan  “tak terhegeh-hegeh” dengan anugerah. – shahbudindotcom.blogspot.my

.