BERTEMU QARADAWI

Sejak di tahun satu di Jordan, aku sudah mula berborak dengan rakan-rakan seangkatan tentang keinginanku untuk ke Qatar.

Bukanlah untuk melancong, tetapi tarikan seorang tokoh terkemuka – Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi – begitu kuat. Naluri hati mendesak-desak untuk aku bertemuu dengannya.

Apa yang kubimbangi ialah, hajatku itu tidak sempat terlaksana jika beliau pergi dijemput llahi.

Secara peribadi, aku berasa amat rugi jika sudah berada di Jordan dan tidak mengambil peluang itu untuk bertemu mata dengannya. Memang sebelum ini pun aku sudah beberapa kali singgah di Doha untuk transit mengikut penerbangan Qatar Airways.

Justeru apa yang boleh aku lakukan ialah berusaha dan merancang. Maklumlah, aku hanya seorang mahasiswa berumur 19 tahun, dan bukannya seorang ahli politik ataupun ilmuwan.

Aku memperoleh alamat e-mel pejabat KUIS lantas menghantar surat kepada mereka untuk memaklumkan hasratku yang terpendam sekian lama.

Selain itu aku juga mendapat bantuan daripada seseorang di Jordan. Beliau ialah seorang daripada panel KUIS di negara tempat aku menuntut ilmu ini.

Aku cukup yakin dengan tazkiyah (perakuan) yang ada. Beliau seseorang yang rapat dengan KUIS serta berjawatan tinggi di Jordan.

Akhirnya detik itu pun tiba. Aku terfikir – benar juga kata orang tua-tua: manusia perlukan angan-angan untuk digerakkan menjadi kenyataan.

Selepas bertahun-tahun lamanya aku menyimpan impian untuk bertemu al-Qaradhawi, akhirnya, inilah dia.

Borak tentang PAS, AMANAH

Aku ke pejabat KUIS yang bukan kali pertama kukunjungi. Di situ aku bertemu dengan pengarah eksekutif badan ulama itu saja. Beliau terlibat di bahagian pengurusan, bukannya panel atau pentadbiran KUIS.

Sambil berborak dengan beliau, aku memaklumkan kepadanya – dan penyambut tetamu di pejabat itu, Ali – tentang hasrat untuk bertemu al-Qaradhawi.

Al-Qaradhawi ialah tokoh ulama dan pemikir rabbani. Presiden dan juga pengasas Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) itu dilahirkan pada 1926, bermakna kini umurnya mencecah 91 tahun. Aku, 19 tahun.

Siapa yang tidak mengenali al-Qaradhawi. Beliau menjadi susuk yang sering menjadi rujukan dalam banyak masalah atau hal ehwal berbangkit mengenai sebarag persoalan kehidupan.

Tidak keterlaluan jika aku gambarkan beliau sebagai seorang pemikir polymathterulung abad ini.

Sementara menunggu, aku berborak panjang dengan pengarah eksekutif KUIS itu tentang pelbagai perkara. Hal ehwal Malaysia dan juga negara Islam lain.

Antaranya isu yang kami bincangkan ialah penubuhan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan kunjungan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Iran.

Memang itulah dua perkara cukup panas yang berkaitan dengan KUIS dan Malaysia. Sewaktu penubuhan AMANAH, ada suara-suara mengatakan al-Qaradawi meletakkan hukum haram padanya.

Daripada mulut pengarah eksekutif itu aku mendapat tahu sama ada al-Qaradawi atau KUIS, mereka tidak pernah mengharamkan AMANAH, malah mengambil pendekatan untuk berbaik-baik dengan kedua-dua parti Islam di Malaysia.

Mengenai pemergian Abdul Hadi ke Iran, jawaban beliau sudah jelas seperti yang tersebar. KUIS memang tidak bersetuju dan al-Qaradawi sendiri sudah puas dan serik untuk ke Iran untuk bersama Syiah.

Beliau juga menyentuh tentang sebuah pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia – IKRAM – yang dilihat sangat progresif dengan gerakan kesedaran dan keilmuannya.

Tidak lupa, nama Datuk Seri Anwar Ibrahim juga disebutnya dengan rasa simpati. Beliau menceritakan bagaimana Anwar menjadi sahabat akrab kepada al-Qaradawi sejak sekian lama.

Setelah berbual panjang, beliau yang tidak kuingat namanya meminta Ali untuk menghubungi pejabat al-Qaradawi.

Pejabat al-Qaradawi terletak di bangunan berasingan daripada KUIS. Menurut Ali, al-Qaradawi hanya membuka pintu temu janji dengan seseorang antara jam 11 pagi hingga 2 petang saja.

Agak lama juga aku menunggu di pejabat KUIS hari itu. Sempat terbit tanggapan bahawa harapan untuk aku bersemuka dengan al-Qaradawi adalah tipis.

Malahan, ramai yang memberitahu agak mustahil untuk orang biasa seperti aku bertemu beliau. Namun, aku terus berdoa dan meyakini setiap ketentuan dan rezeki terletak pada Yang Maha Kuasa.

Akhirnya Ali memaklumkan pada aku sesuatu yang membuat hati aku amat bersyukur. Pejabat al-Qaradawi bersetuju membenarkan aku bertemu dengan beliau esok pada jam 1 petang.

Perasaan aku ketika itu? Teramat gembira, seperti sedang bersenang-lenang di tepi pantai sambil melihat pelangi di atas gunung. Indah sungguh perasaan itu.

Ali kemudian memberikan alamat pejabat al-Qaradawi menggunakan aplikasi Google Maps.

Di pejabat KUIS itu aku sempat juga bertemu Syeikh Ali al-Qaradaghi, Setiausaha Agung KUIS. Beliau mengucapkan agar aku berjaya dan dipermudahkan urusan bertemu al-Qaradawi esok.

Al-Qaradaghi turut mengulang-ulangi katanya bagi menegaskan betapa besar pahala bermusafir untuk bertemu seorang ulama.

– M’kini

.