BERTANDING KERANA AMANAH SUDAH GANTI PAS

SHAH ALAM –  Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor bertegas untuk bertanding pada semua kerusi Pas pada PRU akan datang.

Pengerusinya, Ir Izham Hashim dalam satu kenyataan semalam berkata, secara dasarnya Amanah sudah menggantikan Pas dalam Pakatan Harapan di Selangor.

“Sebagaimana yang disebut oleh Pengarah Komunikasi Amanah Nasional, Khalid Abdul Samad bahawa Amanah sedang menimbang untuk bertanding di 40 kerusi Parlimen, jauh kurang daripada kerusi yang ditandingi Pas pada PRU13 yang lalu.

“Keputusan itu dibuat selepas kami mengambil kira aspek kemampuan dan “winnability” Amanah serta pembahagian kerusi kepada Bersatu yang juga akan bertanding buat kali pertama nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkenaan kerusi yang akan ditandingi Amanah seperti yang dilaporkan akhbar ini 28 Disember lalu.

Pada masa sama, Izham mengingatkan Iskandar memberi tumpuan kepada pembahagian kerusi sesama rakan-rakan Pas dalam Gagasan Sejahtera.

“Iskandar jangan jadi seperti ‘orang yang tinggal di dalam perigi buta’ dengan buat-buat tak tahu kepada perkembangan isu semasa.

“Isu curi kerusi ni bukan kerja Amanah tetapi yang pasti Pas sudah bertanding di tujuh kerusi PKR dalam PRU lalu walaupun selepas perjanjian bersama. Jadi siapa sebenarnya yang tidak amanah?,” soalnya.

Katanya, Iskandar dan Pas seharusnya memberi fokus kepada usaha untuk menumbangkan Umno/BN demi menyelamatkan rakyat dan negara.

“Apa saja usaha ke arah itu kami Pakatan Harapan-Bersatu sedia bekerjasama pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Menyentuh isu kerusi PKR yang dikatakan akan ditandingi oleh Amanah, Izham berkata, itu merujuk kepada perubahan lanskap politik semasa dan mungkin akan berlaku perubahan atau pertukaran kerusi sesama komponen parti dalam Pakatan Harapan dan Bersatu.

“Bagaimanapun semua akan diputuskan bersama dalam mesyuarat Pakatan Harapan-Bersatu,” katanya.

– Sinar Harian

.