BERTANDING ATAU TIDAK, PAIRIN MASIH BERTEKA TEKI

KOTA KINABALU – Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata sama ada beliau bertanding atau tidak pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 hanya akan diketahui pada hari penamaan calon.

“Masanya akan tiba untuk mengetahui sama ada saya bertanding atau tidak. Tunggu sehingga hari penamaan calon,” kata Timbalan Ketua Menteri Sabah itu ketika ditanya pemberita mengenai perkara tersebut, hari ini.

Beliau yang sebelum itu mewakili Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman merasmikan Persidangan Kebangsaan Koridor Ekonomi: Prospek dan Cabaran, di sini turut menegaskan siapa sahaja bebas untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tambunan yang disandangnya sekarang.

“Semua pun bebas mahu berdiri (bertanding), saya dengar banyak mahu berdiri (bertanding) di sana (Tambunan),” katanya.

Mengulas  spekulasi adiknya Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku yang mahu bertanding di Dun itu  jika Pairin mengundur diri, beliau  berkata hal tersebut tidak ada kaitan dengan dirinya.

“Itu bukan hal saya… sama ada saya bertanding atau tidak, mereka di sebelah sana (pembangkang) mahu juga (akan tetap) pergi bertanding,” katanya.

Selain DUN Tambunan, Pairin juga menyandang kerusi Parlimen Keningau.

Pairin sebelum ini menyatakan hasrat 99 peratus tidak bertanding pada PRU ke-14 namun akan menggunakan baki satu peratus lagi untuk mendengar pandangan barisan kepimpinan parti.

– Bernama

.