BERSIH: Luah perasaan, bantah hak manusia tapi…

Sabtu 1 Oktober 2016 saya adalah salah seorang yang terlibat di Lumut untuk melancarkan obor BERSIH 5.

Kami merasmi dan melancarkan obor BERSIH 5 pada jam 9.30 pagi di Marina Wings Waterfront Lumut.

Ketika ucapan perasmian obor oleh pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sedang berlangsung satu gerombolan Baju Merah telah datang menghampiri tempat pelancaran.

Mereka telah dihalang oleh Polis Diraja Malaysia.

Kurang lebih 30 minit kemudian obor BERSIH5 selamat dilancarkan.

Sesudah pelancaran selesai kereta dan motosikal konvoi BERSIH 5 mula bergerak menuju ke wilayah pasar iaitu tempat kami cadangkan untuk menyebar selebaran.

Dalam perjalanan ke situ kami telah diserang oleh gerombolan Baju Merah bermotosikal.

Kereta yang saya tumpangi adalah salah satu daripada beberapa kereta yang diganggu dandiserang oleh gerombolan Baju Merah.

Cermin kereta yang saya tumpangi telah cuba dipecahkan. Dinding kereta telah diterajang. Bendera BERSIH yang berkibar megah di kereta dirampas dan dikoyak.

Hakikatnya, saya menyokong sesiapa saja untuk membantah. Saya menyokong kumpulan dan gerombolan apa sahaja untuk berdemo menunjuk perasaan.

Meluahkan perasaan dan membantah adalah hak asasi umat manusia. Jika tidak bersetuju dengan apa saja maka kita berhak untuk menyatakan perasaan kita itu.

Justeru, hak membantah adalah salah satu daripada garis perjungan BERSIH. Hak membantah telah dinobatkan sebagai salah satu tuntutan dan perjuangan BERSIH.

Apa yang saya TIDAK sokong ialah menggunakan keganasan. Sikap ganas ini saya tolak. Sikap dan perbuaatan mengganas wajib ditolak.

Anak semua bangsa, bangsa semua agama, wajib menolak segala bentuk keganasan.

– M’kini

.