Bersih 5: PKR bincang dulu baru umum

SHAH ALAM – PKR bakal mengadakan perbincangan selepas ini bagi melihat penglibatan parti itu dalam penganjuran Bersih 5 yang akan diadakan pada 19 November ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat tersebut berkemungkinan diadakan pada minggu hadapan dan pengumuman berhubung penglibatan parti itu akan dibuat selepas perbincangan berkenaan selesai.

“Insya-ALLAH kita akan bincang dulu dan pengumuman berhubung penglibatan PKR akan dibuat selepas itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Online hari ini.

Hari ini, Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah mengumumkan bahawa pihaknya akan menganjurkan perhimpunan Bersih 5 pada 19 November ini dengan bertemakan “Satukan Tenaga, Malaysia Baru!”.

Selain itu, Fahmi memaklumkan bahawa pihaknya turut percaya usaha penganjuran Bersih 5 kali ini bakal mendapat sambutan yang baik daripada rakyat berdasarkan perkembangan situasi politik tanah air pada masa kini.

“Saya percaya ramai yang akan hadir untuk bersama-sama berhimpun dan mendesak supaya perubahan dilakukan dalam negara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut mengalu-alukan pengumuman daripada Bersih tersebut bagi meneruskan perjuangan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

“Saya mengalu-alukan pengumuman Bersih untuk berhimpun pada 19 November depan bagi meneruskan perjuangan untuk menuntut pilihan raya yang bersih dan adil,”tulisnya di laman Facebook. – http://www.sinarharian.com.my/

.