Bersih 5 perlu pujuk Pas sertai himpunan

SHAH ALAM – Penganjur Bersih 5 disarankan memujuk barisan kepimpinan tertinggi Pas untuk sama-sama ikut serta dalam perhimpunan yang dirancang, November depan.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, tindakan itu penting untuk himpunan sepenting Bersih.‎

“Pas perlu ikut serta kerana himpunan lepas-lepas, sokongan ahli Pas itu serta penyertaan aktif Pas membuktikan ia memberi kesan besar setidak-tidaknya dari segi jumlah peserta himpunan.

“Perhimpunan sebelum ini tanpa Pas terbukti sedikit sebanyak ia terjejas. Maka, penting untuk mereka memujuk pemimpin tertinggi Pas untuk ikut serta bagi membuktikan perhimpunan ini mendapat sokongan semua pihak dan untuk memberi gambaran ada perpaduan serta kerjasama utuh dalam kalangan pihak terbabit demi agenda Bersih 5 ini,” katanya kepada Sinar Online.‎

Sebelum ini, DAP dilaporkan berkata Pas harus menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap matlamat untuk menumbangkan BN termasuk menyertai perhimpunan Bersih 5 bagi menuntut pengunduran Najib.

Setakat ini, Pas masih belum memutuskan penyertaannya dalam Bersih 5 selepas Bersih 2.0 mengumumkan tarikh perhimpunan itu.

Mengulas lanjut, Dr Jeniri berkata, jumlah penyertaan yang terjejas dalam perhimpunan itu akan dimanfaatkan kerajaan sedia ada.

“Sudah tentu ia akan dimanfaatkan kerajaan untuk menyatakan perhimpunan itu tidak mendapat sokongan rakyat. Jadi, sebelum kenyataan sedemikian keluar, maka amat perlu bagi mereka untuk berunding,” katanya.

Ketika ditanya jangkaan suasana Bersih 5 sekiranya ia berlangsung tanpa Pas, Dr Jeniri menegaskan semua pihak tidak dapat menafikan hakikat Pas memang mempunyai jentera akar umbi dan ahli yang ramai di negara ini.

Namun, beliau mengingatkan Pas tentang kedudukan parti Islam itu yang berada di pihak pembangkang.

“Kena tanya apakah matlamat sebenar Pas di pihak pembangkang? Adakah untuk memastikan BN terus berkuasa?

“Kalau Pas ingin hantar mesej mereka jalin kerjasama dengan BN, maka kepentingan Pas sebagai parti pembangkang itu harus dipersoalkan kerana parti pembangkang bertujuan untuk menumbangkan parti yang memerintah dan mengambil alih tempat itu,” katanya.

Sementara, Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat menyifatkan Bersih 5 tidak akan meriah tanpa penyertaan Pas.

“Sebenarnya semangat rakyat untuk berkumpul itu sudah semakin tawar. Pas ini hadir untuk menyuntikkan promosi kepada sesebuah perhimpunan itu dengan agama yang akan memacu ramai peserta untuk ikut serta.

“Ini yang tiada pada Pakatan Harapan. Jadi, tanpa Pas, suntikan ini hilang dan ia akan memberikan situasi hambar kepada perhimpunan itu,” katanya. – Sinar Harian

.