BERSIH 5 MENYIMPANG DARI OBJEKTIF ASAL

Selepas berjaya menganjurkan perhimpunan pada tahun 2007, gabungan NGO Bersih 2.0, ditubuhkan untuk menggesa kerajaan mengendalikan pilihanraya dengan adil dan bersih. Gabungan NGO ini juga dikenali sebagai “Jalan untuk Demokrasi”. Sungguhpun dilabelkan “Pertubuhan Haram” oleh pihak berwajib, Bersih 2.0 disokong kuat oleh barisan pembangkang.

Gabungan NGO

Bersih 2.0 terdiri daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Pembangunan Wanita Kolektif (WDC) dan Penulis Media Bebas (WAMI). Sebelum ini, Bersih 2.0 pernah dipengerusikan oleh Datuk Ambiga Sreenivasan, bekas Presiden Majlis Peguam.  

Tuntutan awal Bersih 2.0

Kini, Bersih 2.0 dipengerusikan oleh Maria Chin Abdullah daripada WDC. Pada peringkat awal, asas kepada penubuhan Bersih 2.0 adalah untuk memberi tekanan kepada kerajaan mengendalikan pilihanraya secara adil dan bersih, mewujudkan kerajaan yang tulus, memberikan hak untuk berhimpun secara aman, mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi negara.

Tangkap “Malaysian Official 1”

Namun, baru-baru ini, Bersih 5 mengalihkan fokusnya untuk menggesa kerajaan mencari dan menangkap “Malaysian Official 1” ataupun MO1 yang disebut sebanyak 36 kali dalam permohonan saman sivil Jabatan Kehakiman(DOJ) Amerika Syarikat yang telah difailkan pada 22 Julai 2016 di New York. Walau bagaimanapun, bagi memastikan kerelevenannya, Bersih 5, tetap dengan tuntutan tradisinya- untuk pilihanraya yang adil dan bersih.

Meskipun sering dicabar oleh kumpulan Baju Merah, dan pihak berkuasa, Bersih 2.0 berazam untuk mengadakan perhimpunannya pada 19 Nov 2016.

Penyertaan kaum Melayu dijangka meningkat

Perhimpunan pada kali ini dijangka akan disertai ramai kaum Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana pada 8 Okt 2016, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan sokongannya serta berjanji untuk turut serta perhimpunan Bersih 5.

Tuntutan asal banyak ditinggalkan

Persoalannya sekarang, mengapakah kebanyakan tuntutan asal Bersih 2.0 telah ditinggalkan dan agenda menangkap MO1 pula diutarakan? Adakah ini disebabkan oleh segelintir pemimpin politik mendakwa tanpa bukti bahawa MO1 adalah Najib Tun Razak?

Kegagalan Perhimpunan “Tangkap MO1”

Sebelum ini, pada 27 Ogos 2016, Gerakan Anak Muda Malaysia pernah mengadakan perhimpunan “Tangkap Malaysian Official 1” bagi memaksa pihak berkuasa untuk mengenalpasti dan menangkap MO1. Begitu pun, perhimpunan tersebut gagal menarik perhatian umum dan berakhir dengan hanya 1000 peserta- kebayakannya terdiri daripada belia. Oleh hal yang demikian, apakah perlunya satu lagi perhimpunan untuk menuntut perkara yang sama? Bukankah Bersih 5 seharusnya berpegang kepada tuntutan asal yang lebih bersifat demokratik?   

Bersih 2.0 dipengaruhi fahaman politik

Kecenderungan Bersih 2.0 untuk menuntut penangkapan MO1 memperlihatkan gabungan NGO tersebut lebih dipengaruhi politik dan menyimpang daripada tujuan asalnya iaitu, memperjuangkan tuntuan rakyat. Oleh itu, Bersih 2.0 harus berhenti menyasarkan pemimpin politik tertentu dalam tuntutannya dan kembali kepada perjuangan asalnya.

Penyertaan perhimpunan semakin berkurangan

Perhimpunan Bersih 3 yang diadakan pada 28 Apr 2012 merupakan yang paling berjaya dan telah menyaksikan penyertaan orang ramai daripada semua kaum iaitu, di antara 80,000 hingga 100,000 orang. Namun, dalam perhimpunan Bersih 4 pula penyertaan umum telah berkurangan kepada lebih kurang 50,000 orang sahaja. Malahan, ia juga didakwa lebih banyak disertai oleh kaum bukan Melayu.

Lantaran itu, menurut perangkaan saya berdasarkan kepada sambutan orang ramai terhadap perhimpunan “Tangkap MO1” yang lalu, penyertaan bagi Perhimpunan Bersih 5 akan jauh lebih rendah daripada 50,000. Ini bermaksud bahawa kemerosotan penyertaan orang ramai menandakan Bersih 2.0 semakin kehilangan sokongan rakyat. Malah, ia juga menandakan rakyat telah bosan dengan tuntutan Bersih 2.0 yang lebih berbaur politik.

Oleh, Johan James

– MAILBAG