BERSATU TIDAK MUNGKIN JADI UMNO 2.0 – ANTHONY LOKE

SHAH ALAM – Bersatu tidak mungkin akan menjadi ketua dalam Pakatan Harapan dan juga menjadi Umno 2.0.

Demikian dinyatakan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook kepada China Press.

Beliau berkata, dari segi pembahagian kerusi, Bersatu tidak akan mendapat lebih daripada separuh jumlah kerusi yang diperuntukkan dalam Pakatan Harapan, oleh itu ia tidak mungkin menjadi ketua dalam barisan pembangkang.

“Bersatu akan menumpukan kawasan majoriti Melayu, namun ia tidak boleh mengambil kerusi yang telah dimenangi oleh PKR atau Amanah.

“Pakatan Harapan juga tidak akan membenarkan Bersatu menjadi Umno 2.0. Oleh itu, untuk mengagihkan kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan, Bersatu hanya akan diberi antara 50 hingga 60 kerusi sahaja,” katanya.

Menurut Siew Fook, sebagai salah sebuah parti komponen dalam Pakatan Harapan, Bersatu tidak boleh membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada parti-parti lain.

“Sekiranya Bersatu ingin melaksanakan sebarang dasar baharu, ia perlu berbincang dengan parti komponen lain terlebih dulu,” katanya.

– SH