BERSATU TIDAK LAYAK PIMPIN NEGARA: MOHD AMAR

KOTA BHARU – Kelemahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyelesaikan masalah remeh pendaftaran parti itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membuktikan kepimpinan parti itu tidak layak untuk mentadbir negara ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu tidak mempunyai kualiti kepimpinan yang diharapkan oleh rakyat apabila soal pendaftaran dan kegagalan mengadakan mesyuarat agung parti tidak dapat diselesaikan sekian lama

“Semua ini menunjukkan kelemahan pengurusan. Tidak sepatutnya seorang pemimpin yang pernah jadi seorang perdana menteri selama 22 tahun, tiba-tiba nak urus pendaftaran dan pengurusan parti pun tak boleh selesai … macam mana nak dapatkan sokongan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika menghadiri sidang Dun Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berpendapat kegagalan Pakatan Harapan (Harapan) untuk didaftarkan adalah  lebih baik kerana memberi peluang kepada Pas untuk bertanding satu lawan satu dengan BN.

“Bagi kita kalau tak ada langsung Pakatan Harapan lebih baik… biar Pas sahaja yang lawan dengan Umno (dan BN),” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik sebagai berkata kegagalan Bersatu mengadakan perhimpunan agung tahunan sejak pendaftaran parti itu diluluskan serta permohonan pindaan perlembagaan PPBM yang belum diluluskan turut menyebabkan permohonan pendaftaran Pakatan Harapan tidak dapat dilakukan.

Ini selain kegagalan DAP yang menganggotai Harapan menyelesaikan laporan pemilihan semula anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 12 November lepas.

– Bernama

.