BERSATU TANDINGI PALING BANYAK KERUSI SEMENANJUNG

Pakatan Harapan (HARAPAN) memutuskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk bertanding sebahagian besar kerusi di Semenanjung Malaysia.

Ketua setiausaha gabungan itu, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan hari ini BERSATU akan bertanding 52 daripada 165 kerusi parlimen di Malaysia Barat.

BERSATU diikuti oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diperuntukkan 51 kerusi, 35 kerusi untuk DAP dan 27 kerusi pula buat AMANAH.

“Dengan ini, kami bersatu dan bersetuju bahawa perjanjian ini mengikat parti-parti kami,” kata Saifuddin.

Kenyataan bersama yang dibaca itu ditandatangani oleh ketua parti masing-masing iaitu Pengerusi BERSATU Dr Mahathir Mohamad, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, pengerusi DAP Tan Kok Wai dan Presiden AMANAH Mohamad Sabu.

Rundingan kerusi parlimen untuk Semenanjung Malaysia diputuskan setelah mesyuarat 11 jam di Petaling Jaya semalam.

Sejak pilihan raya 2008, PKR yang pernah mengambil peranan kepimpinan dalam menyatukan pembangkang kelihatan bersedia memberikan BERSATU untuk memimpin walaupun parti itu berusia kurang dari dua tahun.

Komponen parti HARAPAN percaya parti serpihan Umno yang baru ini di bawah kepimpinan Mahathir, mantan perdana menteri selama 22 tahun itu akan menjadi peluang terbaik untuk mencabar penguasaan Umno.

Bagaimanapun, PKR masih dijangka bertanding paling banyak kerusi di seluruh negara selepas rundingan kerusi parlimen Malaysia Timur diputuskan.

PKR dijangka diperuntukkan majoriti kerusi di Malaysia Timur.

Namun, PKR masih perlu memberikan beberapa kerusi yang pernah ditandinginya di Sabah jika pakatan dibuat dengan Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang bukan sebahagian daripada gabungan HARAPAN.

WARISAN dipimpin bekas naib presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal.

– M’kini

.