BERSATU TAK BINCANG CALON PM

SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah berbincang tentang calon perdana menteri sekiranya parti itu memenangi Pilihan Raya Umum depan.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, apa yang penting bagi pihaknya adalah soal kemenangan dan perkara itulah yang sering dibincang bersama pimpinan parti.

“Soal siapa nak perdana menteri, itu kami tidak bincang. Yang kami bincang adalah soal kalah menang parti dalam pilihan raya.

“Pasal (soal) calon perdana menteri itu, kalau sudah menang kami bincanglah,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pelancaran lagu dan laman web rasmi Bersatu di Atrium Kompleks PKNS, hari ini.

Mengulas mengenai keahlian parti, Mahathir berkata, pihaknya mengesahkan menerima lebih 100,000 keahlian.

“Masih ada permohonan yang dalam proses. Kami perlu masa untuk mengetahui adakah ahli kami merupakan ahli yang bersungguh-sungguh mahu sertai kami atau sebaliknya.

“Mungkin dalam jangka masa dua bulan lebih lagi, kami akan dapat tentukan jumlah sebenar,” katanya lagi.

– SH

.