BERSATU SERTAI PH – SATU KEPUTUSAN TEPAT DAN MEMUDAHKAN LAGI PAS BERGABUNG DENGAN UMNO

Walaupun agak terlewat dan telah membazirkan banyak masa sebelum ini, Bersatu akhirnya telah membuat satu keputusan yang tepat iaitu secara rasmi menyertai Pakatan Harapan.

Dengan keputusan tersebut yang diumumkan semalam, Pakatan Harapan secara automatik akan menjadi sebuah

gabungan yang kukuh dan mantap yang dianggotai empat parti iaitu PKR, DAP, Amanah serta Bersatu bagi melawan BN dalam pilihanraya akan datang.

Dalam mesyuarat semalam, sebenarnya ada dua keputusan penting yang dibuat oleh Bersatu. Pertama, membuat keputusan sebulat suara menyertai Pakatan Harapan dan kedua, menangguhkan sebarang hubungannya dengan Pas sehingga parti Islam itu benar-benar ada pendirian yang jelas tentang haluan yang mahu ditujunya.

Ini bermakna, selepas ini tiada lagi ceramah bersama antara Bersatu dengan Pas dan rundingan untuk bekerjasama yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin dan Tuan Ibrahim Tuan Man yang sudah bertemu beberapa kali, turut dihentikan.

Sebelum ini, Pas sentiasa berdolak-dalik dan tiada ketentuan mengenai pendiriannya. Sekejap mahu bekerjasama dengan Bersatu, tetapi sekajap kemudian mengatakan tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana parti yang ada hubungan dengan DAP dan Amanah.

Sekejap mahu berlawan dan ingin menumbangkan BN, sekejap yang lain macam seronok sedondon, sama-sama berjubah putih dan duduk sepentas dengan pemimpin-pemimpin UMNO.

Muslimat Pas pun nampak bukan main seronok dapat berselfie dengan Najib, jauh lebih ceria berbanding bertemu pemimpin mereka sendiri.

Pemimpin-pemimpin Pas pula seperti ada dua kelompok yang sengaja dicipta di mana satu pihak sedia berunding dan duduk semeja dengan Bersatu, manakala satu pihak yang lain kerjanya asyik membelasah dan mencerca Tun Mahathir Mohamad saja.

Dalam keadaan begitu, jika Bersatu terus juga merundingkan hubungan kerjasama dengan Pas, segala-galanya akan nampak celaru dan tiada berkesudahan dan membuang masa sedangkan tarikh pilihanraya makin hari makin hampir detik ketibaannya.

Maka, dengan menyertai Pakatan Harapan dan menangguhkan hubungannya dengan Pas, Bersatu bukan saja boleh merundingkan soal pembahagian kerusi pilihanraya dengan aman dan selesa, malah sudah boleh memulakan gerak kerja secara bersama dengan segera.

Yang penting, Pakatan Harapan kini sudah boleh menampilkan dirinya sebagai alternatif untuk sebuah kerajaan baru bagi menggantikan BN. Meskipun hanya dianggotai empat parti, tetapi Pakatan Harapan adalah menyeluruh merangkumi perjuangan semua kaum yang ada di negara ini.

Dari segi perjuangan untuk Melayu saja misalnya, berbanding BN yang hanya ada UMNO, sebaliknya keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan boleh disertai dan dijadikan wadah perjuangan oleh orang-orang Melayu.

Rakyat selepas ini akan melihat hanya Pakatan Harapan dan BN sebagai pilihan untuk menerajui kerajaan. Jika mahu negara diselamatkan, pilihan adalah Pakatan Harapan. Kalau mahu kleptokrasi terus berleluasa, undilah UMNO dan BN.

Apa akan jadi kepada Pas?

Bagi Pas, terserah kepada mereka untuk membuat pilihan. Jika Pas masih mahu bersama dalam perjuangan untuk sama-sama menumbangkan UMNO dan BN, mereka mungkin boleh menulis surat mengenai hasrat itu kepada Pakatan Harapan dan Bersatu atau PKR barangkali boleh menjadi jambatannya.

Tetapi, berdasarkan sikap keras Pas menolak DAP dan Amanah secara berterusan, nampaknya mustahil untuk parti itu mahu bersama-sama dengan Pakatan Harapan.

Demi ego, bersendirian adalah salah satu pilihan bagi Pas untuk meneruskan perjuangan. Namun, dengan bersendirian, Pas tidak boleh lagi dianggap mahu menumbangkan UMNO dan BN atau mengamalkan perjuangan untuk amar makruf, nahi mungkar. Tujuannya boleh jadi untuk memberi keselesaan kepada Najib untuk kekal berkuasa.

Bagaimanapun, Pas juga harus ingat bahawa dengan bersendirian dan tersepit di antara perlawanan antara gajah dengan gajah, tentulah mustahil kambing tiba-tiba boleh muncul sebagai pemenangnya.

Lagi pun, dengan hanya mahu bertanding 70 kerusi Parlimen dan tidak mungkin berupaya menubuhkan kerajaan, hanya pentaksub dan golongan walaun saja yang akan terus memberi undi kepada Pas.

Bagi pengundi yang rasional dan berfikir tentang masa depan, mereka akan menganggap hanya membuang masa saja memberi undi kepada parti yang tidak mungkin membentuk kerajaan.

Bermakna, bersendirian tiada masa depan, tetapi mahu menyertai Pakatan Harapan nampak mustahil kerana ada DAP dan Amanah di dalamnya.

Maka, pilihan terbaik bagi Pas, di sebalik keputusan Bersatu menyertai Pakatan Harapan ini ialah dengan mereka segera bergabung dengan UMNO dan BN untuk menjadi tongkat penyelamat kepada masa depan Najib yang sedang terumbang-ambing dan hampir kelemasan sekarang ini.

Kecil tapak tangan, pasti nyiru Najib tadahkan untuk menyambut kedatangan Pas itu.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.