BERSATU PULAU PINANG TUMPU KERUSI GAGAL DITAWAN PKR, PAS PADA PRU13

KETIKA Pakatan Harapan bersedia untuk berdepan pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang, parti komponennya di Pulau Pinang perlu memutuskan kerusi yang akan ditandingi parti di negeri yang hampir pasti akan kekal milik pakatan pembangkang.

Sementara parti lama DAP dan PKR dijangka akan mengekalkan status quo – mengambil kerusi Parlimen dan negeri yang dimenangi pada pilihan raya umum ke 13, selebihnya akan diberikan kepada Bersatu dan Amanah.

Timbalan pengerusi PH Pulau Pinang yang juga ketua Bersatu negeri itu Marzuki Yahya berkata, PH Pulau Pinang mengadakan mesyuarat pertama pada 25 Ogos bagi membincangkan peruntukan 40 kerusi negeri dan 13 kerusi Parlimen.

Mesyuarat peringkat negeri itu menyaksikan Bersatu memohon untuk bertanding di semua kerusi yang kini dipegang oleh Barisan Nasional – bermakna mereka ingin bertanding di kerusi yang pernah ditandingi dan tewas oleh PAS dan PKR.

Ia termasuk kerusi Parlimen Balik Pulau dan tiga kerusi negeri iaitu Bayan Lepas, Teluk Bahang dan Pulau Betong di mana PKR hampir tewas pada pilihan raya 2013 dengan majoriti antara 395 dan 801.

“Ya kita minta untuk bertanding di kerusi Balik Pulau dan semua kerusi yang dipegang Umno,” kata Marzuki kepada The Malaysian Insight.

Di peringkat persekutuan, PH hari ini mengumumkan sudah menyelesaikan rundingan bagi 100 kerusi Parlimen untuk Pilihan Raya Umum ke-14. Setiausaha Agung PH, Saifuddin Abdullah bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh umumkan kerusi berkenaan. https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/13566

Umno menyandang kerusi Parlimen Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau. Kecuali Kepala Batas, yang berjaya dikekalkan Umno dengan majoriti lebih 4,000 undi pada 2013, Balik Pulau dan Tasek Gelugor dimenangi dengan majoriti lebih 1,500 dan 1,600 undi.

Umno turut menyandang sembilan kerusi negeri yang kesemuanya terletak di tiga kawasan Parlimen, dengan majoriti antara 357 kepada lebih 1,600 undi.

Parti itu yang turut memenangi kerusi Sungai Aceh di Parlimen Nibong Tebal yang dikuasai PKR, menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada 2013 selepas PKR dan PAS meletakkan calon masing-masing. Calon Umno Mahmud Zakaria menang dengan majoriti 808 undi manakala calon PAS, Yusni Mat Piah hilang deposit.

PKR bertanding di 15 kerusi negeri namun tewas empat kerusi kepada Umno pada pilihan raya lepas. Manakala PAS yang bertanding kerusi Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor serta lapan kerusi negeri, tewas kesemuanya kepada Umno kecuali kerusi negeri Pematang Pasir di kubu kuat pembangkang Permatang Pauh.

Marzuki berkata, ia akan menjadi status quo kepada semua kerusi yang dimenangi DAP dan PKR pada pilihan raya lalu, dan Amanah akan bertanding di kerusi PAS.

DAP mengekalkan kesemua enam kerusi Parlimen – Bagan, Bukit Mertajam, Bukit Bendera, Tanjong, Jelutong dan Bukit Gelugor – yang dimenangi pada pilihan raya umum ke 12 dan 13. Parti itu juga turut mengekalkan 19 kerusi negeri yang ditandingi dan menang pada pilihan raya lalu.

PKR kekal bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh, Nibong Tebal dan Bayan Baru dan 11 kerusi negeri yang dimenangi pada pilihan raya lepas.

Bagaimanapun, sumber PKR Pulau Pinang berkata terdapat cadangan pada mesyuarat biro politik negeri bahawa parti itu juga mahu bertanding di Permatang Pasir, sebagai tambahan kepada Seberang Jaya dan Penanti. Kesemuanya di bawah kerusi Parlimen Permatang Pauh.

“Semuanya belum dimuktamadkan. Kami masih membincangkan kerusi, iaitu mereka yang ditandingi Pakatan (Rakyat) dan tewas akan menentukan parti komponen PH yang mana akan bertanding.

“Saya rasa kita akan mendapat keputusannya menjelang akhir bulan ini,” kata Marzuki.

Ketua PKR Balik Pulau Abdul Halim Hussain berkata, partinya akan bertanding semula di Balik Pulau, memandangkan parti itu hampir memenangi kerusi Parlimen dan tiga kerusi negeri pada 2013.

“Kami akan maklumkan kepada pimpinan PH mengapa PKR perlu diberikan peluang untuk cuba lagi bertanding di Balik Pulau pada pilihan raya akan datang. Kami menang kerusi Parlimen pada 2008.

“Bersatu adalah parti baharu. Ia mahu bertanding di kesemua 10 kerusi negeri yang dimenangi Umno tetapi mereka tidak akan dapat semua. Amanah juga mahu bertanding di kerusi yang dimenangi PAS sebelum ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Halim yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang berkata terdapat juga faktor seperti calon dan jentera yang perlu diambil kira.

PKR mampu merampas semula Balik Pulau pada pilihan raya 2008 ketika Yusmadi Yusoff menewaskan calon BN Norraesah Mohamad dengan majoriti 708 undi.

Parti itu bagaimanapun tewas pada 2013 kepada calon BN Dr Hilmi Yahaya yang juga bekas doktor tempatan yang kini tibala menteri kesihatan dengan majoriti 1,539 undi.

Yusmadi yang merupakan seorang peguam dan anak jati Balik Pulau tidka bertanding pada 2013, namun baru-baru ini menyatakan minatnya untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang bagi merampas semula kerusi untuk PKR.

Bersatu ditubuhkan secara rasmi pada September tahun lalu. Ia diketuai bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang juga pengerusi PH dan bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin.

– https://www.themalaysianinsight.com

.