BERSATU NAFI DR M MAHU KE AS MINTA SOKONGAN

Ketua Biro Strategi dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Rais Hussin menafikan laporan yang mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengetuai delegasi pembangkang berjumpa ahli politik Amerika.

Rais menyifatkan dakwaan terhadap pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu sebagai berita palsu.

“Ini merupakan contoh jelas berita palsu, cuba merosakkan imeh Dr Mahathir dan HARAPAN,” katanya apabila diminta mengulas berkenaan dakwaan yang dibuat bekas naib pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Rais mengingatkan agar berhati-hati dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tunku Aziz.

“Sampai masanya Tunku Aziz berhenti menyebarkan berita palsu untuk menyokong rejim kerajaan semata-mata untuk kepentingan sempit sendiri,” kata Rais kepada Malaysiakini.

Akhbar harian berbahasa inggeris New Straits Times semalam memetik Tunku Aziz sebagai mendakwa bahawa delegasi itu dijadualkan berlepas ke AS pada 20 Februari untuk meminta bantuan asing menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selain meminta sokongan sekiranya pembangkang membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Selain Dr Mahathir, Tunku Abdul Aziz mendakwa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin juga merupakan antara delegasi itu.

Sementara itu, Bernama hari ini memetik Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai berkata rancangan Dr Mahathir itu menunjukkan hipokrasinya kerana bekas perdana menteri itu sebelum ini melarang parti politik pembangkang melakukan perkara seumpanya.

Mengulas kenyataan Hishammuddin itu, Rais berkata naib presiden Umno itu seharusnya memeriksa faktanya sebelum mengulas berkenaan sesuatu isu.

“Kepada menteri pertahanan, dia perlu periksa dulu faktanya dan bukannya mengulas berita palsu, terutama apabila kenyataan yang diulasnya itu datang dari orang tua nyanyuk,” kata Rais merujuk kepada Tunku Aziz.

Rais menegaskan bahawa terdapat perubaan mewujudkan persepsi negatif terhadap HARAPAN.

“Kita percaya berita palsu seperti ini akan berterusan menjelasng PRU ke-14,” katanya.

– M’kini

.