BERSATU DIJANGKA ADAKAN AGM PADA 30 DISEMBER

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka akan mengadakan mesyuarat agungnya (AGM) pada 30 Disember ini sekiranya Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) tidak mengemukakan apa-apa bantahan.

Pengarah Biro Strategik parti itu Rais Hussin mengesahkan bahawa parti itu telahpun menyampaikan surat pemberitahuan untuk mengadakan mesyuarat itu kepada RoS, minggu lalu.

“Kami telah menghantar surat kepada RoS menyatakan PPBM akan melengkapkan AGM sebelum 31 Disember 2017, selaras dengan perlembagaan kami.

“Jadi, ya, kami akan mengadakan AGM sebelum akhir tahun ini,” kata Rais kepada The Malaysian Insight.

Beliau turut mengesahkan setakat ini parti itu telahpun menubuhkan sebanyak 137 bahagian parti di seluruh negara.

Satu lagi sumber memberitahu The Malaysian Insight bahawa parti itu mengirim tiga pucuk surat kepada RoS dalam tempoh lebih kurang sebulan – semenjak pertemuan pimpinan parti dengan jabatan itu pada 21 November sehingga minggu lalu.

Difahamkan, surat berkenaan bagi memaklumkan cadangan tarikh untuk mengadakan AGM, sekiranya tiada sebarang bantahan daripada RoS.

Seorang sumber RoS mengesahkan kepada The Malaysian Insight mengenai surat itu telah diterima, tetapi tidak dapat mendedahkan pendirian jabatan tersebut ke atas cadangan berkenaan.

The Malaysian Insight difahamkan, wakil Bersatu mengadakan pertemuan dengan RoS pada petang semalam.

Pimpinan tinggi Bersatu pada Khamis lalu mengadakan taklimat mengenai mesyuarat agung berkenaan kepada semua ketua bahagian dan setiausaha bahagian parti itu dari seluruh negara.

The Malaysian Insight difahamkan taklimat berkenaan disampaikan pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad dan presidennya Muhyiddin Yassin.

RoS pada bulan lalu memberi amaran bahawa parti itu mungkin dibatalkan penubuhannya kerana telah melanggar perlembagaannya sendiri dan juga Akta Pertubuhan kerana gagal mengadakan AGM selepas setahun ditubuhkan.

Ketua Pengarah RoS Suriyati Ibrahim pada waktu itu berkata, Bersatu perlu menyelesaikan perkara itu secepat mungkin sekiranya ingin mengambil bahagian dalam pilihan raya umum akan datang.

– https://www.themalaysianinsight.com

.